amree21/04/2026 - 14:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 April — Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menafikan sudah memuktamadkan sistem pendigitalan untuk pengambilan pekerja asing yang berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Tegasnya, semua cadangan berkaitan sistem tersebut masih lagi di peringkat penilaian dan belum melibatkan sebarang bentuk komitmen, pelantikan rasmi atau perjanjian dengan mana-mana pihak.
Menurutnya, proses semakan sedang melalui libat urus bersama negara sumber buruh dan industri, termasuk penyedia sistem pengurusan berpusat pekerja asing (FWCMS) yang digunakan sejak 2015.
“Sebarang laporan yang menyatakan kononnya keputusan telah dimuktamadkan adalah tidak tepat dan mengelirukan, serta tidak mencerminkan kedudukan sebenar kerajaan,” kata Kesuma dalam kenyataan.
Semalam, sekumpulan 10 ahli Parlimen PKR mendesak kementerian itu menilai sistem baharu tersebut yang dikendalikan Bestinet Sdn Bhd dan mengenakan caj mahal mencecah RM215 bagi setiap pekerja.
Mereka mendakwa Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan tidak mengutamakan nasib pekerja tempatan, serta bertentangan hasrat kerajaan mengurangkan pekerja asing daripada 15% kepada 10%.
Dalam pada itu, Kesuma menjelaskan, kajian menyeluruh terhadap ekosistem pekerja asing mendapati ada kelemahan proses pengambilan di negara sumber, terutamanya melibatkan isu perhambaan hutang.
"Sehubungan itu, kementerian ini masih sedang meneliti pembangunan sistem digital berasaskan AI bagi memperkukuhkan keseluruhan ekosistem pengambilan pekerja asing pada masa depan," tegasnya.

Melalui pendekatan itu, majikan dapat mengambil pekerja berdasarkan keperluan sebenar, meliputi proses pendaftaran, pemilihan, padanan pekerjaan, perjanjian kontrak hingga penghantaran pekerja.
Kos pengambilan tersebut jelas Kesuma, akan ditanggung sendiri sepenuhnya oleh majikan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah dan mengelakkan beban kewangan ke atas pekerja.
Cadangan itu selaras dengan prinsip pengambilan adil oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) serta berpotensi menangani pemerdagangan manusia, dan menyokong usaha mencapai penarafan Tier 1.
"Kerajaan turut menegaskan cadangan ini hanya melibatkan proses pengambilan di negara sumber selepas kelulusan kuota, dan tidak menjejaskan peranan agensi kawal selia sedia ada," katanya.
Sekiranya dilaksanakan, sistem itu berada di bawah kawalan penuh Kesuma serta diintegrasikan terus dengan sistem yang sedia ada termasuk FWCMS dan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).
Pada masa sama, peranan agensi pekerjaan swasta di Malaysia akan kekal, dengan sistem baharu ini dilihat sebagai platform yang boleh digunakan sama ada oleh majikan atau melalui agensi berlesen.
Cadangan itu turut mendapat sokongan negara sumber utama seperti Bangladesh, Indonesia dan India, serta badan industri termasuk dewan-dewan perniagaan dan Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM).
"Kesuma menegaskan yang sebarang pelaksanaan akan tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri selepas proses libat urus menyeluruh, selain mematuhi semua keperluan tadbir urus," jelasnya.
Kementerian turut kekal komited memperkukuh pembangunan bakat tempatan sebagai teras reformasi pasaran buruh, selari agenda jangka panjang dalam mengurangkan pekerja asing. - DagangNews.com






