
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada Jumaat (20 Jun) lalu, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail telah dilantik menjadi Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang telah bersara mulai 22 Jun.
Pelantikan Mohd Khalid diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Ibrahim mengikut Fasal 4 dan 5 Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.
Walau bagaimanapun, pelantikan itu menjadi bualan ramai selepas berlaku kesilapan dalam penyiaran infografik yang menyebut Mohd Khalid sebagai seorang ahli sebuah parti politik.
Namun, akhbar tersebut telah memohon maaf atas kesilapan mereka berhubung maklumat profil Mohd Khalid dan menafikan penglibatan beliau dalam mana-mana parti politik selain sudahpun membuat laporan polis.
Difahamkan, kesilapan berpunca dari tindakan seorang staf yang menggunakan template reka bentuk poster lama melibatkan Tan Sri Johari Abdul (Yang di-Pertua Dewan Rakyat)
Pun begitu, ia masih menjadi topik hangat pengguna media sosial sehingga ada yang dilihat mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan terhadap YDPA dan Anwar atas pelantikan tersebut.
Staf Dipercayai Dari UiTM Hina YDPA & Anwar
Tidak terhenti di situ, kemudian tular tangkap layar Instagram Story (IG Story) seorang lelaki yang dipercayai kakitangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan terhadap YDPA dan Anwar.
Menerusi tangkap layar yang tular itu bersama profil Mohd Khalid, lelaki berkenaan menggelarkan Ketua Polis Negara yang baharu itu sebagai pencacai politik.
Malah, dia didakwa turut menggelarkan YDPA dan Anwar dengan gelaran yang tidak sopan.
“Selamat menjalankan tugas tuan sebagai pencacai politik. Jauh perjalanan tuan dalam jabatan polis dari UMNO ke PKR baru dapat jadi ketua polis.
“Teringat kata-kata Anwar dulu, ‘saya takkan benarkan mana-mana lantikan politik berada di bawah pentadbiran saya. Agong, Perdana Menteri, dua-dua *****,” tulisnya.

UiTM Kecam Perbuatan Staf, Serah Kepada Pihak Polis Jalankan Siasatan
Terbaharu, UiTM sekeras-kerasnya mengecam tindakan staf terbabit yang dipercayai membuat hantaran media sosial berunsur penghinaan kepada YDPA.
Menurut Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib, pihak universiti tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk pelanggaran prinsip hormat-menghormati khususnya melibatkan Institusi Diraja, agama, bangsa, dan kepimpinan negara.
Individu Kini Sedang Disiasat Pihak Polis
Jelas Shahrin lagi, individu terbabit kini sedang disiasat oleh pihak polis.
“UiTM memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk memastikan siasatan dijalankan secara telus dan berlandaskan undang-undang.
“Kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak PDRM untuk mengambil tindakan sewajarnya.
“UiTM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk pelanggaran etika, disiplin, dan perundangan dalam kalangan warga kampus,” katanya yang dipetik daripada Kosmo.
Mohd Khalid Tegas Tidak Pernah Terlibat Dengan Mana-Mana Parti Politik
Dalam pada itu, Mohd Khalid menegaskan dia tidak pernah terlibat dengan mana-mana parti politik sepanjang 38 tahun berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Selama 38 tahun saya bersama pasukan PDRM, saya tidak pernah terlibat dalam mana-mana parti politik,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.
Malah, dia juga menerima dengan hati terbuka berhubung kesilapan infografik yang mengaitkannya dengan parti politik memandangkan media terbabit telah meminta untuk bertemu beliau.
“Insya-Allah saya akan bertemu dengan mereka dalam masa terdekat,” katanya.
Pihaknya juga akan berbincang dengan media berkenaan bagi mendengar pandangan serta memberi idea tentang perkara yang perlu dilaksanakan pada masa akan datang.
Minta Pengamal Media Berikan Laporan Terbaik & Sempurna
Pada masa yang sama, Mohd Khalid turut meminta semua pengamal media memberi laporan yang terbaik agar laporan yang disampaikan adalah benar dan tidak lari dari maksud yang sepatutnya.
“Saya berharap hubungan rapat perlu diteruskan antara polis dan wartawan kerana ia menjadi pokok utama untuk kita memberikan laporan terbaik bukan sahaja kepada PDRM tetapi bagi semua agensi kerajaan dan juga Kerajaan MADANI,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Fuziah Salleh turut menafikan pelibatan Mohd Khalid sebagai ahli PKR apatah lagi memegang jawatan dalam parti tersebut.
Baca Artikel Berkaitan: “FB Saya Verified” – Cayson Goh Nafi Hina YDPA, Dakwa Ada Pihak Menyamar Guna ‘Fake Account’
Baca Artikel Berkaitan: Penjaja Gerai Didenda RM3,000 Gara-gara Muat Naik Hantaran Hina Agong Di Platform X
Source:

![“Lambat Duduk Luar” – Pensyarah Mahu Kunci Pintu Bilik Kuliah Sebagai ‘Denda’ Pelajar Lewat Cetus Debat [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/opinion.jpeg)

![“Dari Tesis Ke Business” – Ramai Puji Wanita Guna Ilmu Ketika Belajar Untuk Berniaga Burger [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/food.jpeg)
![“Sangat Bahaya” – Mat Saleh Persoal Ada Rider Di KL Guna Laluan Pejalan Kaki [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/travel.jpeg)
