Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan tafsiran sebenar perintah berkaitan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan kekeliruan undang-undang berhubung penggunaan istilah order of discharge atau perintah pelepasan yang mempunyai implikasi berbeza dengan pelaksanaan tahanan rumah.
Najib bayar denda RM50 juta tapi…
Menurut Saifuddin, isu berkenaan timbul selepas pembayaran denda RM50 juta dibuat dan perintah mahkamah menggunakan istilah pelepasan, sedangkan keputusan Lembaga Pengampunan menetapkan Najib menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah.
Beliau menjelaskan, pelepasan bermaksud Jabatan Penjara tidak lagi mempunyai kuasa terhadap seseorang banduan, manakala tahanan rumah membolehkan individu berkenaan terus menjalani hukuman di bawah pengawasan jabatan itu.
Kalau tahanan rumah, penjara masih ada autoriti. Tapi kalau pelepasan, penjara tak ada autoriti. Di satu sisi, kita dikenakan melaksanakan tahanan rumah, bermaksud rumah itu diwartakan. Dengan pewartaan itu bermaksud Jabatan Penjara masih ada autoriti.

Titah YDP Agong
Dalam pada itu, Saifuddin menegaskan pihak kementerian tidak pernah mempertikaikan titah Yang di-Pertuan Agong atau keputusan Lembaga Pengampunan berhubung tahanan rumah Najib.
Titah Yang di-Pertuan Agong adalah melalui keputusan Lembaga Pengampunan. Kita sudah menerima surat itu dan kita akur.
Beliau turut menjelaskan bahawa KDN telah merujuk perkara tersebut kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan pandangan perundangan sebelum tindakan lanjut dilaksanakan.

Mahkamah tentukan isu tahanan rumah Najib
Saifuddin berkata, sekiranya tahanan rumah dilaksanakan, Najib masih berstatus banduan yang menjalani baki hukuman, cuma lokasi tahanannya dipindahkan dari Penjara Kajang ke kediaman yang diwartakan.
Bagaimanapun, jika perintah mahkamah membawa maksud pelepasan sepenuhnya, tindakan menempatkan Najib di bawah tahanan rumah boleh menimbulkan persoalan mengenai kesahihan penahanan tersebut.
Kalau betul mahkamah kata pelepasan, maknanya penjara kena lepaskan beliau. Sebaliknya, jika kita hantar ke tahanan rumah, ia boleh menimbulkan isu penahanan tidak sah. Sebab itu biarlah mahkamah menentukan kerana terdapat perbezaan dari segi kefahaman.
Sehubungan itu, pelaksanaan tahanan rumah Najib ditangguhkan sementara menunggu penjelasan undang-undang. Saifuddin turut memaklumkan bahawa pihaknya belum mengetahui bila mahkamah akan membuat keputusan berhubung perkara tersebut.

"Menjurus Kepada Ingkar Perintah YDPA" - Sultan Ibrahim Bersuara Mengenai Pertikaian Pengampunan Najib
The post Isu Tahanan Rumah Najib: Istilah ‘Pelepasan’ Perlu Penjelasan Mahkamah – KDN first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.





