
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah tiba di kediamannya di Langgak Duta bagi menjalani baki hukuman penjara kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah berkuat kuasa serta-merta.
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di kediamannya di Langgak Duta di sini untuk menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah.
Kenderaan jenis Proton X70 berwarna perak yang membawa Najib,73, dilihat tiba pada 9.27 malam bersama-sama kenderaan pengiring Jabatan Penjara.
Difahamkan kenderaan itu keluar dari Penjara Kajang melalui pintu berbeza daripada lokasi media berkumpul pada 9 malam tadi.
Tinjauan mendapati kawalan keselamatan di sekitar kediaman berkenaan diperketatkan dengan kehadiran ramai anggota polis, selain khemah kawalan diletakkan di jalan masuk ke kediaman beliau.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta di sini, yang berkuat kuasa serta-merta.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membatalkan perintah pelepasan atas pembayaran denda RM50 juta dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi pada 6 Nov lepas terhadap Najib, dan digantikan dengan perintah memindahkan beliau di bawah tahanan rumah seperti yang dimohon pendakwaan.


![[VIDEO] Najib tiba di Langgak Duta, sambung baki hukuman di rumah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/e6bdb7b6-beba-40c6-9942-65f3582857d8-1024x683.jpeg)

