
PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan Perintah Pelepasan Atas Pembayaran Denda bertarikh 6 November lalu dibatalkan dan digantikan dengan Perintah Pengampunan Bersyarat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perintah baharu itu menetapkan tertuduh menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan rumah di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur sehingga 23 Ogos 2028.
Beliau berkata, kementerian sentiasa menghormati dan menjunjung tinggi keputusan pengampunan diraja yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong selaras dengan kuasa di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Kelewatan pelaksanaan sebelum ini berlaku berikutan persoalan undang-undang berkaitan tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat dan kesan perundangan Perintah Pelepasan bertarikh 6 November lalu, khususnya mengenai pelaksanaan baki hukuman melalui tahanan rumah.
“Keputusan Mahkamah Tinggi pada hari ini telah menjelaskan persoalan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin berkata, kementerian menghormati pendirian Jabatan Peguam Negara bahawa persoalan berkenaan perlu diperjelaskan melalui proses kehakiman bagi memastikan setiap tindakan kerajaan mempunyai asas perundangan yang jelas, teratur dan sah.
Tegasnya, tanggungjawab kementerian dan Jabatan Penjara adalah memastikan setiap keputusan berkaitan pelaksanaan hukuman dan tahanan dilaksanakan berdasarkan undang-undang serta arahan mahkamah yang sah.
Katanya, kes berprofil tinggi itu mempunyai implikasi politik dan persepsi awam yang besar, justeru semua pihak perlu mengendalikannya secara matang dan bertanggungjawab tanpa membiarkan polemik politik menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
“Kerajaan akan terus mempertahankan kedudukan dan peranan institusi Raja-Raja Melayu dalam kerangka Raja Berperlembagaan, di samping menjunjung keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman.
“Prinsip-prinsip ini saling melengkapi dan merupakan asas kestabilan negara,” katanya.- UTUSAN
The post KDN sedia laksana keputusan mahkamah berhubung tahanan rumah Najib appeared first on Utusan Malaysia.





