
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada 19 April, rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan pengisytiharan Penurunan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir oleh Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak.
Pengisytiharan itu dimaklumkannya menerusi satu siaran langsung di Balai Undang Luak Sungei Ujong yang turut kesemua Undang Yang Empat:
- Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak
- Undang Luak Jelebu, Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad
- Undang Luak Johol, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammad Abdullah
- Undang Luak Rembau, Datuk Sedia Raja Abdul Rahim Yasin
‘Pemecatan’ Tuanku Muhriz didakwa kerana perbuatan salah laku sehingga menyebabkan institusi Raja Negeri Sembilan tercemar
Memetik Sinar Harian, Mubarak menyebut satu siasatan lengkap serta menyeluruh berhubung perkara yang merupakan perbuatan salah laku oleh Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan selepas menaiki takhta.
Menurutnya perkara itu yang telah menyebabkan institusi Diraja Negeri Sembilan tercemar.
Akan tetapi tiada penjelasan mengenai salah laku yang didakwa dan memaklumkan tindakan diambil mengikut Perkara 10 (1)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
Undang Luak Sungei Ujong turut mengumumkan pemilihan serta pelantikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu iaitu Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Ibni Almarhum Tuanku Jaafar.
MB NS sahkan pengisytiharan pemecatan Tuanku Muhriz tidak diiktiraf
Susulan daripada pengisytihaaan itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini (20 April) memaklumkan pengisytiharan itu tidak boleh diterima dan tidak diiktiraf oleh Kerajaan Negeri.
“Tindakan Datuk Mubarak Dohak yang menandatangani dan membacakan pengisytiharan menurunkan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 19 April 2026 bertempat di Balang Undang Luak Sungai Ujong, tidak boleh diterima dan tidak diiktiraf oleh Kerajaan Negeri kerana beliau tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong, selain tidak selaras dengan perkara 10 hingga 12, UUTKNS,” ujarnya dalam satu kenyaan.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Pengisytiharan Turunkan Yang Dipertuan Besar Tidak Diiktiraf – MB Negeri Sembilan
Kenapa pengisytiharan pemecatan pada Tuanku Muhriz tidak diiktiraf?
Perkara ini secara tidak langsung telah menarik perhatian ramai khususnya mereka yang berada di luar Negeri Sembilan termasuklah yang kurang arif tentang Adat Perpatih.
Bahkan ada yang tertanya-tanya bolehkah seorang Yang di-Pertuan Besar dipecat dan siapakah yang dapat mengesahkan status sebenar pengisytiharan itu memandangkan ada dua pihak yang memberikan jawapan berbeza.
Aminuddin sudah maklumkan pemberhentian Mubarak sebagai Undang pada 17 April
Memetik Berita Harian pada 17 April lalu, Tuanku Muhriz serta semua anggota Dewan Keadilan dan Undang telah menerima pemberhentian Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Mubarak Dohak.
Jelas Aminuddin, penerimaan pemberhentian Mubarak telah dibuat dalam satu sidang khas Dewan Keadilan dan Undang di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.
Menurut beliau, Tuanku Muhriz selaku Pengerusi Dewan Keadilan dan Undang, telah menguatkuasakan Fasal 24 UUTKNS 1959 dengan mempersilakan Ibu Soko Klana Hulu dan Waris Klana Hulu hadir ke sidang terbabit.
Tuanku Muhriz dibentangkan 33 sebab pemberhentian Mubarak sebagai Undang Luak Sungei Ujong
“Pada sidang khas itu, Tuanku Muhriz dan semua anggota Dewan Keadilan dan Undang dibentangkan 33 sebab pemberhentian Mubarak sebagai Undang Luak Sungei Ujong.
“Dewan Keadilan dan Undang menasihatkan penerimaan pemberhentian Mubarak mengikut adat Luak Sungei Ujong, selaras Fasal 14(3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” jelasnya, lapor Berita Harian.
Perkara itu dilakukan berdasarkan pengumuman rasmi oleh Tua Lembaga Waris di-Darat, Datuk Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim. Ia sebaik mendapat persetujuan dan keizinan dari Ibu Soko Klana Hulu dan Anak Waris Klana Hulu.
Ini bermakna pengumuman pemberhentian Mubarak telah dilakukan oleh Menteri Besar NS dua hari sebelum bekas Undang Luak Sungei Ujong itu membuat pengisytiharan dan menurunkan tanda tangan untuk menurunkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Ke-11.
Mubarak dah diberhentikan sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Luak Sungei Ujong sejak 13 Mei 2025
Yang Mulia Telaga Undang, Sarifah Norzaidah Al-Qadri dalam satu kenyataan turut memaklumkan Mubarak telah diberhentikan sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Luak Sungei Ujong ke-10 sejak 13 Mei 2025.
“Seyongja dimaklumkan, Mubarak ialah Anak Waris Klana Hulu, maka terletak hak kepada kuasa Ibu Soko – Ibu Soko Klana Hulu dan Anak-anak Waris Klana mencabut pesaka YTM Datuk Klana Petra yang disandangnya bagi pihak Ibu Soko Klana Hulu, berkuat kuasa dari 13 Mei 2025.”
Sebarang keputusan bermula 13 Mei 2025 tidak sah
Dalam kenyataan sama, Sarifah juga memaklumkan sebarang keputusan yang dibuat oleh Mubarak mulai 13 Mei 2025 hendaklah dianggap sebagai tidak sah.
Malah Sidang Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang berlangsung pada 17 April lalu sudah menasihat untuk menerima pemberhentiannya.
Boleh ke Undang Pecat Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan?
Untuk makluman, Negeri Sembilan merupakan satu-satunya negeri yang menggunakan Adat Perpatih.
Memetik Majlis Keselamatan Negara dalam laman sesawangnya, Undang Yang Empat mempunyai kuasa yang diberikan oleh UUTKNS untuk menabalkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Menurut MalaysiaKini, perkara ini termasuklah dalam menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar.
Undang Yang Empat juga bersama dengan Yang di-Pertuan Besar serta pembesar lain juga menjadi anggota Dewan Keadilan dan Undang yang berfungsi sebagai badan penasihat dalam hal adat dan pelantikan serta penyingkiran Yang di-Pertuan Besar, lapor MalaysiaKini.
Undang Yang Empat ada kuasa melantik dan memecat Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
Perkara 10(1) UUTKNS menjelaskan Undang Yang Empat boleh menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar sekiranya baginda melakukan perbuatan yang menjejaskan kesucian, kehormatan serta martabat jawatan berkenaan.
Memetik Malaysia Kini, Perkara 29 mengatakan keputusan undang dianggap sah sekiranya dilaksanakan oleh sekurang-kurangnya tiga Undang atau sejumlah Undang yang masih hidup ketika kuasa tersebut digunakan.
Jadi dalam hal ini ia hanya boleh dianggap sah sekiranya pengisytiharan tersebut melibatkan sekurang-kurangnya tiga Undang Yang Empat.
Namun jelas laporan itu terdapat isu yang mungkin timbul membabitkan Undang Luak Rembau, Abdul Rahim berhubung statusnya yang didakwa belum diwartakan meskipun sudah dilantik dua tahun yang lalu.
Malah menerusi semakan kami di Laman Portal Rasmi Kerajaan Negeri Sembilan mendapati informasi pada ruangan Undang Luak Rembau dibiarkan kosong.






![[Konflik YDP N9] : Isytihar Turunkan Tuanku Muhriz Tidak Sah, Menteri Besar Tegaskan Mubarak Tiada Kuasa](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://cdn.beautifulnara.net/wp-content/uploads/2026/04/20134400/TB_TUANKU-MUHRIZ-TUANKU-MUNAWIR_BERNAMA.webp)

