
KUALA LUMPUR - Tindakan Datuk Mubarak Dohak menandatangani dan membaca pengisytiharan untuk melucutkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Balai Undang Luak Sungai Ujong pada Ahad, tidak boleh diterima dan tidak diiktiraf.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu tidak sah kerana Mubarak tidak lagi mempunyai sebarang kuasa atau fungsi sebagai Undang Luak Sungai Ujong, selain bertentangan dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Menurut beliau, pemecatan Mubarak sebagai penyandang Datuk Klana Petra Luak Sungai Ujong telah berkuat kuasa pada 13 Mei 2025, selaras dengan adat dan tradisi Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Sungai Ujong.
Beliau berkata, Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan pada 17 April turut bersetuju menasihati serta menerima muafakat Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Luak Sungai Ujong yang memecat Mubarak sebagai Datuk Klana Petra Luak Sungai Ujong ke-10.
“Keputusan ini selaras dengan Fasal 14(3) perlembagaan negeri, berdasarkan 33 kesalahan berkaitan adat dan tradisi Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Luak Sungai Ujong,” katanya, seperti dilaporkan Bernama.
Aminuddin menjelaskan, DKU Negeri Sembilan berperanan sebagai badan penasihat dalam hal berkaitan adat dan tradisi Melayu, termasuk urusan pelantikan dan pemecatan empat Undang Luak seperti diperuntukkan di bawah Perkara 16 UUTKNS.
“Ini termasuk pemecatan seseorang Undang Luak daripada memegang gelaran adat mengikut adat luaknya, sebagaimana diperuntukkan di bawah Fasal 14(3) UUTKNS,” katanya.
Beliau berkata, keputusan DKU menerima pemecatan seorang Datuk Undang Luak mempunyai precedent, merujuk kes Undang Luak Johol ke-14, Datuk Mohammad Jan Abdul Ghani, yang dipecat pada 27 Mac 2016 atas 13 kesalahan berkaitan adat dan tradisi Luak Johol.
Pada Jumaat lalu, DKU menerima pemecatan Mubarak susulan mesyuarat khas yang diadakan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, yang dipengerusikan Tuanku Muhriz.
Menurut Aminuddin, dalam mesyuarat itu, Tuanku Muhriz turut menggunakan Fasal 24 perlembagaan negeri dengan menjemput Ibu Soko Klana Hulu dan Waris Klana Hulu untuk hadir.
Tuanku Muhriz, yang dikenali dengan sifat mesra dan mudah didekati, sering dilihat berinteraksi dengan rakyat dalam pelbagai acara, sekali gus mengukuhkan hubungan rapat dengan masyarakat.
Baginda bersama permaisuri, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, serta dua putera baginda juga kerap menyantuni rakyat dan bertanya khabar mengenai kesejahteraan mereka.
Dilahirkan di Seri Menanti pada 14 Januari 1948, Tuanku Muhriz menaiki takhta sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 pada 26 Oktober 2009.
Baginda dikenali sebagai pemimpin yang mengutamakan keterbukaan, kejujuran, integriti, objektiviti dan akauntabiliti, selain tegas dalam isu melibatkan kepentingan rakyat. - Getaran, 20 April 2026




![[Konflik YDP N9] : Isytihar Turunkan Tuanku Muhriz Tidak Sah, Menteri Besar Tegaskan Mubarak Tiada Kuasa](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://cdn.beautifulnara.net/wp-content/uploads/2026/04/20134400/TB_TUANKU-MUHRIZ-TUANKU-MUNAWIR_BERNAMA.webp)

