Isu Takhta Negeri Sembilan: Undang Yang Empat Nafi Kenyataan Menteri Besar

LocalPolitics
21 Apr 2026 • 11:26 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Isu Takhta Negeri Sembilan: Undang Yang Empat Nafi Kenyataan Menteri Besar

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Semalam (20 April) Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan pegisytiharan penurunan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir oleh Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak tidak boleh diterima dan tidak diiktiraf oleh Kerajaan Negeri.

Jelasnya ia kerana beliau tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong, selain ia tidak selaras dengan perkara 10 hingga 12, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Pengisytiharan Turunkan Yang Dipertuan Besar Tidak Diiktiraf – MB Negeri Sembilan

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Isu Takhta Negeri Sembilan: Ini Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini

Undang Yang Empat nafi kenyataan media Menteri Besar Negeri Sembilan

Terbaharu Undang Yang Empat bersama Tunku Besar Tampin menafikan kenyaataan media dikeluarkan Menteri Besar Negeri Sembilan berhubung nasihat DKU Negeri Sembilan berkaitan pemecatan Datuk Mubarak Dohak sebagai Undang Luak Sungei Ujong.

Jelasnya, mereka yakin serta percaya kenyataan yang dikeluarkan itu tidak relevan selain tidak benar.

Selain itu, dakwa mereka ahli-ahli yang hadir dalam sidang dewan berkenaan pada 17 April lalu tidak pernah mencapai keputusan secara kolektif serta sebulat suara dalam isu kedudukan Mubarak sebagai Undang Luak Sungei Ujong.

“Kami juga menegaskan bahawa menurut Perkara 16 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan selaku Pengerusi Dewan Keadilan dan Undang tiada kuasa secara bersendiri (unilateral) untuk membuat sebarang keputusan bagi mengeluarkan sebarang nasihat bagi pihak dewan.  

“Maka kenyataan media Menteri Besar tersebut adalah tidak benar dan sebarang nasihat sebagaimana yang dinyatakan adalah tidak teratur, bertentangan dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan tidak sah,” jelasnya, lapor Utusan Malaysia.

Undang Yang Empat juga menegaskan tidak pernah bersetuju dengan pemberhentian Mubarak sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra yang kononnya dibuat mengikut adat Luak Sungei Ujong selara Fasal 14(3) UUTKNS 1959.

Kenyataan bersama yang dikeluarkan itu turut ditandatangani oleh kesemua Undang Yang Empat iaitu:

  • Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak
  • Undang Luak Jelebu, Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad
  • Undang Luak Johol, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammad Abdullah
  • Undang Luak Rembau, Datuk Sedia Raja Abdul Rahim Yasin

Ibu Soko Klana Hulu dan Waris Klana Hulu adalah penyandang pesaka yang telah dihukum dan waris yang terhukum

Menurutnya lagi, Ibu Soko Klana Hulu serta Waris Klana Hulu yang hadir sidang mesyuarat DKU Negeri Sembilan pada 17 April 2026 adalah penyandang-penyandang pesaka yang telah dihukum dan waris yang terhukum.

Maka katanya pendengaran oleh DKU Negeri Sembilan pada hari berkenaan adalah cacat serta salah dan melanggar perjanjian antara Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dengan Undang Yang Empat bertarikh 16 Mei 1934 yang masih berkuat kuasa sehingga hari ini.

Berpendapat Aminuddin tak layak terajui Negeri Sembilan

Memetik Sinar Harian pula, tiga ahli DKU yang hadir pada mesyuarat khas pada 17 April lalu turut mendakwa yang Aminuddin mengeluarkan kenyataan tidak benar tentang pemecatan Mubarak.

Tiga ahli DKU yang dimaksudkan adalah:

  • Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Datuk Muhammed Abdullah (Undang Luak Johol)
  • Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri (Tunku Besar Tampin)
  • Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid (Datuk Shahbandar Sungei Ujong).

Dakwa mereka dalam kenyataan itu lagi kenyataan MB Negeri Sembilan itu adalah tidak relevan dan satu pembohongan kerana mesyuarat khas tersebut tidak mencapat sebarang keputusan kolektif dan sebulat suara.

Mereka dalam masa sama turut menyifatkan Aminuddin tidak layak untuk menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan sebagai Menteri Besar dan selayaknya diturunkan.

Dalam pada itu turut tular kenyataan dipercayai dikeluarkan Undang Yang Empat berhubung isu berkenaan di media sosial.

Image from: Isu Takhta Negeri Sembilan: Undang Yang Empat Nafi Kenyataan Menteri Besar