

Isu kadar tambang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kembali menjadi perbualan hangat dalam kalangan pengguna media sosial.
Bagaimanapun, Malaysia Rail Link Sdn Bhd menegaskan bahawa maklumat mengenai kadar tambang tersebut adalah tidak tepat dan tidak pernah disahkan oleh mana-mana pihak berkuasa.
Segala penentuan harga tiket penumpang perlu melalui proses penilaian terperinci. Ia hanya akan dimuktamadkan selepas mendapat kelulusan rasmi daripada Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Hanya Diumumkan Kementerian Pengangkutan

Menurutnya, sebarang kadar tambang rasmi bagi perkhidmatan penumpang ECRL hanya akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia setelah proses penilaian dan kelulusan berkaitan dimuktamadkan.
"MRL amat menghargai keterujaan serta minat orang ramai terhadap perkhidmatan ECRL. Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang andaian atau kesimpulan berdasarkan maklumat yang tidak disahkan, sebaliknya merujuk kepada pengumuman melalui saluran rasmi Kementerian Pengangkutan Malaysia, MRL dan ECRL.
"Insya-Allah, penetapan kadar tambang ECRL kelak akan mengambil kira kepentingan rakyat, kemampuan pengguna serta nilai dan kualiti perkhidmatan yang bakal ditawarkan," katanya di halaman Facebook rasminya, sebentar tadi.
Masa Perjalanan ECRL: Kota Bharu ke Gombak Hanya 4 Jam

Apabila beroperasi kelak, ECRL bakal mentransformasikan mobiliti antara Pantai Timur dan Lembah Klang secara menyeluruh. Tempoh perjalanan darat dapat dijimatkan secara signifikan berbanding laluan jalan raya sedia ada.
Berikut adalah anggaran masa perjalanan bagi laluan utama ECRL:
Kota Bharu ke Gombak: Sekitar 4 jam
Kuala Terengganu ke Gombak: Sekitar 3 jam
Kuantan ke Gombak: Sekitar 1 jam 35 minit
Orang ramai disaran sentiasa merujuk saluran rasmi MRL, ECRL, dan Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk mendapatkan maklumat terkini serta sahih.






