Pernohonan Pengampunan Jho Low: Tiada Pertimbangan Akan Diberi - PM

LocalPolitics
16 May 2026 • 8:18 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pernohonan Pengampunan Jho Low: Tiada Pertimbangan Akan Diberi - PM

KUALA LUMPUR - Tiada pertimbangan akan diberikan ke atas isu pengampunan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low. 

Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jenayah dilakukan Jho Low amat berat dan mendatangkan implikasi yang amat besar kepada negara. 

Menurut beliau, skandal 1MDB melibatkan ahli perniagaan itu bukan sekadar mendatangkan kerugian, bahkan turut memalit lumpur dan menjadikan nama negara sebagai bahan jenaka di dunia luar. 

“Permohonan (pengampunan) Jho Low ini tidak sepatutnya menjadi isu. Perbuatannya adalah jenayah besar.

“Buat jenayah (hingga negara rugi) berbilion takkan nak mohon pengampunan (pula),” katanya, sinis. 

Perdana Menteri menyatakan demikian kepada media ketika mengulas isu permohonan pengampunan Presiden yang dibuat Jho Low, usai majlis Sesi Pertemuan dan Penyampaian Surat Setuju Terima kepada Kontraktor Kecil Bumiputera di Kompleks Pendidikan Negeri Perak di Ipoh hari ini. 

Anwar menarik perhatian, pendirian Malaysia dalam hal itu bagaimanapun telah disalah erti beberapa media, semalam. 

Katanya, ayat ‘tidak diberi pertimbangan’ yang disebut telah disalah tafsir oleh media terlibat. 

“Maksud saya, bila sebut tak diberi pertimbangan, ia bukan isu untuk kita beri perhatian (kepada perkara tersebut),” katanya. 

Terdahulu, Jho Low yang lokasinya hingga saat ini masih gagal dijejaki dilaporkan telah membuat permohonan pengampunan kepada Presiden Donald Trump. 

Sekiranya diluluskan, setiap pertuduhan jenayah ke atasnya akan digugurkan. 

Difahamkan, status permohonan Jho Low itu disenaraikan sebagai ‘pending’ untuk Pardon after Completion of Sentence" oleh Jabatan Kehakiman AS. - Getaran, 16 Mei 2026