Isu video tular KLIA makin panas! Dua anggota polis fail saman terhadap Shuhaily

LocalPolitics
5 Nov 2026 • 9:30 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Dua anggota polis yang mendakwa dikasari dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu mengambil tindakan sivil terhadap Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Image from: Isu video tular KLIA makin panas! Dua anggota polis fail saman terhadap Shuhaily

Foto: Harian Metro

Memetik laporan Sinar Harian, saman itu difailkan di Mahkamah Sesyen Sepang pada 4 November menerusi Tetuan Kamal Hisham & Associates, dengan Mohd Shuhaily dinamakan sebagai defendan tunggal.

Peguam yang mewakili kedua-dua plaintif, Kamal Hisham Ja’afar berkata, tindakan tersebut menyusuli pertuduhan terhadap Mohd Shuhaily mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan pada 21 Oktober lalu.

Menurut kenyataan media pihak peguam, saman berkenaan mengemukakan empat kausa tindakan, iaitu tort penahanan salah, serangan, bateri dan fitnah.

Kamal Hisham menjelaskan, tindakan itu ditujukan terhadap Mohd Shuhaily atas kapasiti peribadinya tanpa melibatkan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

“Hal ini adalah dengan mengambil kira bahawa kejadian kekasaran tersebut adalah semata-mata suatu perbuatan Datuk Seri Shuhaily atas kapasiti dirinya sendiri tanpa melibatkan pihak Kerajaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan bersama seorang lagi peguam, Muhammad Nor Tamrin.

Menerusi kenyataan sama, kedua-dua anggota polis itu menyatakan keyakinan bahawa saman sivil merupakan saluran yang sesuai untuk mendapatkan keadilan.

Mereka turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas pendirian bahawa semua pihak tertakluk kepada undang-undang sedia ada.

Terdahulu, pada 21 Oktober, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis dalam kejadian di Terminal 1 KLIA pada 28 September.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sumber: Sinar Harian (Noor Azlida Alimin)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved