Isuzu D-MAX 2.2L rentas 1,605km dari Sandakan ke Kuching dengan hanya isi satu tangki diesel

Cars
19 Oct 2026 • 4:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Isuzu D-MAX 2.2L rentas 1,605km dari Sandakan ke Kuching dengan hanya isi satu tangki diesel Image from: Isuzu D-MAX 2.2L rentas 1,605km dari Sandakan ke Kuching dengan hanya isi satu tangki diesel amree19/10/2026 - 16:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Okt — Isuzu D-MAX 2.2L turbo diesel serba baharu berjaya melengkapkan perjalanan sejauh 1,605 kilometer (km) dari Sandakan, Sabah ke Kuching, Sarawak tanpa mengisi semula bahan api menerusi cabaran “D-MAX One Tank. One Nation”.

 

Cabaran tersebut berjaya menguji kecekapan bahan api dua unit Isuzu D-MAX baharu merentasi laluan mencabar di wilayah Malaysia Timur, termasuk jalan berbukit, kawasan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo serta laluan merentasi Banjaran Crocker.

 

Menurut kenyataan Isuzu Malaysia Sdn Bhd, dua varian yang menyertai cabaran berkenaan ialah D-MAX 4x2 AutoPlus dan 4x4 Automatic Premium. Kedua-duanya berjaya tiba di garisan penamat dengan baki bahan api yang masih lagi banyak.

 

"Malah varian 4x2 AutoPlus menyelesaikan keseluruhan perjalanan dari bilik pameran Universal Motor Isuzu di Sandakan ke Pusat 3S Jimisar Auto Niaga Isuzu di Kuching tanpa lampu amaran paras bahan api rendah menyala," jelas syarikat itu.

 

Isuzu_DagangNews2026

 

Isuzu_DagangNews2026

 

Ketua Pegawai Operasi Kenderaan Komersial Ringan Isuzu Malaysia, Kenichi Kudo berkata, cabaran berkenaan menjadi platform untuk menunjukkan tahap keupayaan sebenar D-MAX baharu dalam keadaan pemanduan harian di seluruh negara.

 

Menurutnya, ujian berkenaan merangkumi pelbagai keadaan jalan, termasuk laluan utama yang sempit dan sesak dengan lori, kawasan pembinaan serta pendakian di Banjaran Crocker, sekali gus menguji keupayaan kenderaan dalam keadaan sebenar.

 

Perjalanan bermula di Sandakan sebelum konvoi bergerak ke Telupid dan Kundasang, seterusnya ke Kota Kinabalu. Konvoi kemudian memasuki Sarawak melalui Brunei, dengan singgah di Miri, Bintulu, Sarikei dan Sibu sebelum menamatkan perjalanan di Kuching.

 

Di beberapa lokasi sepanjang laluan, Isuzu turut mengadakan sesi interaksi bersama duta jenama D-MAX, Baki Zainal, yang bertemu peminat dan mengagihkan cenderahati eksklusif. Orang ramai juga dipelawa meneka jarak perjalanan sebenar menerusi penyertaan dalam talian.

 

Isuzu_DagangNews2026

 

Isuzu_DagangNews2026

 

"Aktiviti yang dianjurkan itu turut menawarkan hadiah keseluruhan dengan mencecah nilai RM10,000 termasuk baucar pelbagai barangan runcit menarik sebanyak RM5,000 untuk para pemenang berkenaan," jelas kenyataan tersebut.

 

Menurut Isuzu Malaysia, keupayaan D-MAX baharu itu disokong enjin turbo diesel 2.2 liter yang digelar 'Best Engine Ever', dengan peningkatan kuasa, tork, kelancaran, ketahanan, kebolehpercayaan dan kecekapan bahan api.

 

Enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan baharu. Tork yang tersedia pada putaran enjin rendah membolehkan kenderaan mendaki bukit curam menggunakan gear lebih tinggi, sekali gus membantu penjimatan bahan api.

 

Kudo berkata D-MAX 2.2L baharu turut menawarkan potensi kos operasi lebih rendah melalui kecekapan bahan api, ketahanan dan produktiviti yang lebih baik serta cukai jalan lebih murah, menjadikannya pilihan trak pikap yang relevan dalam keadaan ekonomi semasa. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved