![Image from: [VIDEO] Pikap tular dikejar polis miliki dadah, alatan curi kabel](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/pikap-tular-1024x660.jpeg)
AMPANG JAYA – Beberapa peralatan disyaki digunakan untuk mencuri kabel serta bahan disyaki dadah ditemukan dalam sebuah pikap Isuzu D-Max yang tular dikejar polis di Jalan Wangsa 5, Bukit Antarabangsa di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 11 pagi.
“Anggota bertugas di Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerima maklumat daripada anggota kereta peronda polis yang sedang mengejar kenderaan berkenaan.
“Kedua-dua suspek berjaya ditahan ketika berada di persimpangan Jalan Jelatek dengan Jalan Taman Setiawangsa, berhampiran stesen minyak Caltex Setiawangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul berkata, pemeriksaan di dalam kenderaan suspek menemukan sebilah parang, sebilah sabit serta peralatan mencuri kabel seperti alat pembuka penutup lurang (manhole).
“Turut dirampas daripada kedua-dua suspek ialah bahan disyaki dadah,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Terdahulu tular di media sosial aksi mengejar antara polis dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda pagi tadi.
Beberapa anggota polis dilihat mengejar kenderaan itu selain dibantu oleh orang awam.
Malah, suspek turut dipercayai cuba merampas tiga hingga empat buah motosikal bagi melarikan diri, namun usaha itu gagal. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
The post [VIDEO] Pikap tular dikejar polis miliki dadah, alatan curi kabel appeared first on Kosmo Online.






