
PEKAN, 18 Jun 2026 – Isuzu HICOM Malaysia Sdn Bhd (IHM) menyerahkan sebanyak 11 buah trak Isuzu kepada tujuh institusi vokasional dan teknikal di Pahang serta Terengganu sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dalam menyokong pembangunan kemahiran teknikal negara.
Trak yang terdiri daripada model Isuzu ELF dan Isuzu FORWARD itu akan digunakan sebagai kenderaan latihan praktikal bagi membantu pelajar memperoleh pengalaman pembelajaran secara langsung dalam bidang kejuruteraan automotif, penyelenggaraan kenderaan, struktur komponen serta latihan pemanduan.

Ketua Pegawai Eksekutif IHM, Koshi Yamaguchi, berkata inisiatif tersebut mencerminkan komitmen syarikat untuk menyumbang kepada pembangunan komuniti dan industri negara.
“Amalan perniagaan yang bertanggungjawab diintegrasikan ke dalam operasi IHM sebagai sebahagian daripada komitmen luas kami terhadap masyarakat. Melalui inisiatif ini, kami sasar untuk menyumbang kepada pembangunan bakat berkemahiran sambil menyokong pertumbuhan industri automotif dan pengangkutan di Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, penggunaan trak sebenar dalam sesi latihan dapat meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar serta membantu membina kemahiran yang lebih relevan dengan keperluan industri semasa.

Antara institusi yang menerima sumbangan tersebut ialah Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), ADTEC Kuantan, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, GIATMARA Pekan, Kolej Komuniti Pekan, Institut Kemahiran MARA Tan Sri Yahya Ahmad dan DRB-HICOM University of Automotive Malaysia (DHU).
Naib Canselor DHU, Dr Sharoul Jambari, mewakili institusi penerima menyifatkan sumbangan itu sebagai pemangkin penting dalam memperkukuh pembelajaran berasaskan industri.
“Sumbangan ini akan meningkatkan pengalaman pembelajaran secara langsung untuk pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi kami selaku penerima bantuan. Bagi DHU, trak-trak tersebut mengukuhkan lagi penekanan kami terhadap TVET serta komitmen kolektif kami untuk menyampaikan kursus dan program yang memenuhi keperluan industri yang sentiasa berkembang,” katanya.

Selain menyokong pendidikan dan pembangunan bakat, program CSR ini turut menyumbang kepada agenda kemampanan IHM melalui usaha memanjangkan kitaran hayat kenderaan, mengurangkan pembaziran serta menyokong pembangunan sosio-ekonomi jangka panjang menerusi pendidikan dan pembinaan kemahiran.
The post Isuzu HICOM Malaysia Sumbang 11 Trak Untuk Perkukuh Pendidikan TVET appeared first on TW Media.






