J-Kom rangka strategi tangkis sebaran maklumat palsu menjelang PRN Melaka

LocalPolitics
4 Oct 2026 • 2:03 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: J-Kom rangka strategi tangkis sebaran maklumat palsu menjelang PRN Melaka

BUTTERWORTH : Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) kini sedang merangka pelbagai strategi dan program dalam usaha untuk menangkis penyebaran maklumat palsu serta naratif negatif berkaitan kerajaan khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.

Ketua Pengarahnya, Mohd. Hisyamuddin Ghazali berkata, setakat ini, terdapat lebih 80 program berkaitan sedang berjalan dan ia dijangka selesai dalam masa yang terdekat.

“Untuk PRN Melaka, kita akan cuba sedaya upaya menerangkan mesej yang baik kepada rakyat agar mereka boleh membuat pilihan yang terbaik.

“Maksudnya, info-info yang kita sampaikan itu bukan berunsur fitnah, tetapi, fakta-fakta yang tepat tentang kejayaan Malaysia Madani,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui semasa menghadiri Program MADANI Kita (PMK) Bersama Komuniti Perai @Batu Kawan di Dewan Serbaguna Chai Leng Park di sini, hari ini. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Datuk Seri S. Sundarajoo.

Sebanyak 37 jabatan dan agensi terlibat sebagai pempamer dalam program itu bagi menyediakan akses kepada maklumat berkaitan perkhidmatan, bantuan, kemudahan dan inisiatif kerajaan di satu lokasi.

Antara pengisian program termasuk pameran serta perkhidmatan oleh jabatan serta agensi kerajaan, pertandingan e-sukan dan sukan rakyat, senamrobik, persembahan kebudayaan dan sebagainya.

Sementara itu, Mohd. Hisyamuddin berkata, PMK bukan program berbentuk ‘one-off’, sebaliknya, ia akan dijalankan secara berterusan mengikut keperluan semasa rakyat.

“Setiap kali program, kita buat ‘survey’ (tinjauan). Contohnya, untuk peserta yang hadir pada program hari ini, kita bagi borang ‘survey’ dan minta mereka isi. Kita nak tengok apa ‘feedback’ (maklum balas) mereka kepada kerajaan sama ada positif atau negatif.

“Kalau negatif, maka, kita kena baiki dan baik pulih apa yang perlu. Malah, kita juga akan buat ‘follow up’ (susulan) melalui program-program seterusnya dan kita harap, pegawai-pegawai kita di peringkat lapangan juga akan sentiasa turun untuk berjumpa dengan rakyat,” katanya.-UTUSAN

The post J-Kom rangka strategi tangkis sebaran maklumat palsu menjelang PRN Melaka appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved