
JABATAN Air Sabah sedang memantau bekalan air ke sebuah kawasan di Beaufort bagi mengatasi masalah ketidakteraturan bekalan yang dialami oleh pengguna di situ sejak kebelakangan ini.
Tindakan itu diambil susulan maklum balas daripada seorang penduduk Kampung Lumadan mengenai kualiti air paip teruk di kampung berkenaan yang kemudianya disalurkan kepada jabatan tersebut.
Jurucakap Jabatan Air berkata saluran agihan yang membekalkan air ke Kampung (Kg) Lumadan telah dibilas (flushing) sebaik pihaknya dimaklumkan mengenai masalah yang berlaku di kawasan perumahan berkenaan.
“Juruteknik kami menjalankan kerja-kerja pembilasan di beberapa bahagian paip utama.
“Langkah ini diambil bagi mengurangkan kehadiran mendapan dalam bekalan air ke kawasan perumahan tersebut,” katanya.
Beliau berkata kakitangan jabatan kemudianya membuat pemeriksaan terhadap keadaan air terawat di kawasan itu.
“Dalam pemerhatian kami bekalan air ketika itu didapati jernih,” katanya.
Namun begitu jurucakap berkenaan berkata Jabatan Air akan terus membuat pemeriksaan berkala terhadap bekalan air yang disalurkan ke kampung itu bagi memastikan keadaan kekal terkawal.
Sementara itu seorang penduduk Kg Lumadan Nizam berkata warna air paip di rumahnya menyerupai minuman coklat.
“Ia kelihatan seperti Milo.
“Keadaan ini berlaku secara berselang-seli sejak sebulan lalu. Ada hari airnya seperti ‘Milo Kau’ dan ada hari pula seperti ‘Milo Si’,” ujarnya.
Katanya beliau turut berkongsi pemerhatian itu dengan seorang jiran yang mengakui bimbang untuk menggunakan air tersebut bagi memasak apatah lagi untuk memandikan anak kecilnya.
Nizam menyuarakan kebimbangan terhadap kesan negatif sekiranya air yang diragui kualitinya itu diminum.
“Saya berharap Jabatan Air dapat memperbaiki tahap kebersihan air yang disalurkan ke Kg Lumadan,” katanya.
Beliau berkata kualiti air mula merosot secara beransur-ansur sejak penduduk kampung mengalami gangguan bekalan air selama beberapa hari awal bulan ini.
Dalam aduan Hotline sebelum ini berkaitan kualiti air yang teruk kejadian sedemikian lazimnya berlaku selepas gangguan bekalan air apabila mendapan yang melekat di bahagian dalam paip agihan terganggu semasa bekalan dipulihkan.
Jurucakap Jabatan Air mengesahkan bahawa satu penutupan operasi telah berlaku sekitar tempoh bekalan air terputus di kediaman Nizam.
Beliau berkata operasi Loji Rawatan Air Beaufort 1 terpaksa dihentikan sementara bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan pendawaian pada panel kawalan utama dijalankan.
“Paras air di beberapa empangan simpanan kami menurun semasa penutupan itu termasuk R, R1 serta empangan yang membekalkan kawasan Limbawang, Batandok, Padas Damit dan Garama,” katanya.
Menurut beliau Loji Rawatan Air Beaufort 1 lazimnya menghasilkan antara 25 hingga 28 juta liter air terawat sehari dalam keadaan normal.
Jabatan Air turut mengeluarkan notis sekitar jam 10.30 pagi pada hari kerja pembaikan dijalankan bagi memaklumkan pengguna di beberapa kawasan di daerah itu mengenai gangguan bekalan air.
Selain Kg Lumadan beberapa kampung lain yang terjejas termasuk Kg Batu 58, Kg Batu 60, Kg Limbawang, Kg Takuli, Kg Kebatu, Kg Lupak, Kg Lubak, Kg Yagong, Kg Batandok, Kg Kepawa, Kg Gadong, Kg Tuhu Lupak, Kg Kebulu, Kg Menanjung, Kg Patani, Kg Jempangah, Kg Cina, Kg Bingkul, Kg Melelugus, Kg Klias 1 hingga Kg Klias 4, Kg Kubu 1 dan 2, Kg Mempagar, Kg Padas Damit, Kg Papasa, Kg Bintuka, Kg Bangkalalak, Kg Mentulud, Kg Kokob, Kg Kansa, Kg Shabandar, Kg Jabang, Kg Balila Jaya, Kg Taratak, Kg Kukut, Kg Raja Besar, Kg Indu Madi, Kg Kuala Balik, Kg Garama, Kg Kabajang, Kg Lago dan Kg Suasa Depan.
Penduduk di Taman San Min, Taman Kinamas dan Taman Lo Cong turut terkesan selain kakitangan Bangunan Majlis Daerah, Hospital Beaufort, Masjid Beaufort serta SMK Beaufort 1 dan SMK Beaufort 2.
Beliau berkata pengeluaran air kembali normal di Loji Beaufort 1 pada malam yang sama dengan bekalan air dipulihkan secara berperingkat selepas tekanan mencukupi terbina dalam saluran agihan.
“Kebiasaanya ia mengambil masa antara dua hingga tiga hari untuk kualiti air paip kembali stabil dalam sesetengah kes.
“Pengguna yang tinggal berhampiran paip utama mungkin tidak perlu menunggu terlalu lama namun penduduk di kawasan tanah tinggi atau di hujung saluran bekalan lazimnya hanya akan menerima semula bekalan selepas hari ketiga,” tambahnya.




