
JABATAN Air sedang memantau keadaan di sebuah kondominium di Inanam bagi menangani masalah tekanan bekalan air rendah yang menjejaskan sebahagian daripada kira-kira 3,000 penduduk di kediaman 25 tingkat itu.
Aduan berhubung masalah berkenaan dikemukakan penghuni Tower A dan Tower B, Kondominium 1Borneo yang berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air paip di unit masing-masing di tingkat atas sejak beberapa minggu lalu.
Seorang penghuni warga emas di Tower B terpaksa mengisi air ke dalam baldi di rumah saudara-maranya di Likas bagi menampung keperluan harian.
Beliau mengeluh kerana terpaksa melakukan kerja berat mengangkut air berkenaan kembali ke kondominium di tingkat 10, tempat beliau tinggal bersama isterinya.
Sementara itu seorang lagi penghuni di Tower A meluahkan rasa kecewa terhadap bekalan air yang tidak menentu di unit kediamannya di tingkat 22 sejak awal Oktober lalu.
Beliau berkata sudah beberapa kali menyuarakan masalah itu kepada syarikat pengurusan (MC) kondominium berkenaan.
Pada satu ketika penghuni itu dimaklumkan bahawa pihak pengurusan sudah dua kali mengemukakan surat kepada Jabatan Air bagi mendapatkan bantuan.
Bagaimanapun sehingga awal November, pihak pengurusan difahamkan masih belum menerima maklum balas rasmi berhubung kedua-dua surat berkenaan.
Aduan kedua-dua penghuni itu kemudian disalurkan kepada Jabatan Air untuk tindakan lanjut.
Jurucakap jabatan itu berkata kakitangannya telah mengunjungi Kondominium 1Borneo tidak lama selepas dihubungi pihak media.
Beliau berkata pemeriksaan dilakukan terhadap keadaan paip agihan di kawasan kondominium berkenaan.
“Kerja-kerja pembilasan paip dilakukan bagi mengeluarkan sebarang perangkap udara yang terbentuk di dalamnya. Pelarasan turut dibuat pada injap pintu air berhampiran,” katanya.
Menurutnya tekanan bekalan air ketika pemeriksaan dijalankan didapati berada pada tahap yang memuaskan.
“Kakitangan kami turut menyemak semula hasil pemeriksaan dengan bacaan peralatan pemantauan di kawasan itu dan mendapati semuanya berada dalam keadaan baik,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya Jabatan Air akan terus memantau keadaan bekalan air di kondominium berkenaan.
“Jika perlu, kerja pengimbangan bekalan air boleh dilakukan bagi menambah baik aliran air yang disalurkan ke kondominium itu.”Jurucakap itu berkata kegiatan mencuri air secara berleluasa di beberapa lokasi di sepanjang Jalan UMS turut menjejaskan kestabilan bekalan air ke kondominium berkenaan.
“Akibat kegiatan mencuri air itu, bekalan hanya mengalir perlahan ke sesetengah unit, manakala unit lain langsung tidak menerima air,” ujarnya.
Beliau berkata kegiatan itu berlaku di sepanjang jalan utama berhampiran Taman Kingfisher Sulaman dan Menara 1 Sulaman Platinum, selain di beberapa bahagian Taman Kingfisher serta jambatan menuju ke Kampung Rampayan.
Katanya usaha jabatan untuk menangani masalah itu berdepan cabaran berikutan peningkatan jumlah pihak yang membuat sambungan haram pada paip utama agihan air di kawasan berkenaan.
“Kami berusaha menangkap pihak yang bertanggungjawab ketika mereka sedang melakukan kegiatan itu namun perkara berkenaan amat mencabar.
“Sejak awal tahun ini anggota penguat kuasa kami sudah memutuskan banyak sambungan paip yang menyalurkan bekalan air ke penempatan setinggan di kawasan Inanam ini,” jelasnya.
Beliau berkata kakitangan jabatan akan menutup sambungan haram pada paip agihan air, namun dalam tempoh 24 jam, sambungan baharu didapati dibuat di lokasi lain di sepanjang saluran bekalan yang sama.
Sehubungan itu jurucakap berkenaan berkata Jabatan Air meningkatkan pemantauan di kawasan terbabit dengan pemeriksaan dijalankan setiap hari, termasuk pada cuti umum.
Katanya jabatan itu juga sedang mencari kaedah terbaik untuk menangani kegiatan mencuri air berkenaan.
Beliau berkata mana-mana pihak yang membuat “sambungan paip perkhidmatan secara tidak sah kepada paip utama awam atau kepada paip perkhidmatan lain yang membekalkan air ke premis lain” boleh dianggap melanggar Enakmen Bekalan Air 2003.
“Pesalah berdepan denda sehingga RM100,000, hukuman penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali,” tambahnya.
Menurutnya jika kesalahan itu dilakukan oleh badan korporat, pihak pengurusan boleh dipertanggungjawabkan dan dikenakan denda sehingga RM500,000.





