Tragedi Sungai Pertak: Satu lagi mayat ditemukan, dua masih hilang

12 Nov 2026 • 3:11 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tragedi Sungai Pertak: Satu lagi mayat ditemukan, dua masih hilang

HULU SELANGOR – Satu lagi mayat mangsa tragedi kepala air di Sungai Luit, berhampiran Tapak Berkelah Sungai Pertak, ditemukan di sekitar kawasan Empangan Sungai Selangor, menjadikan enam mangsa ditemukan setakat ini manakala dua lagi masih hilang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata, mangsa yang belum dikenal pasti identitinya itu ditemukan kira-kira 10.15 pagi tadi dan dibawa ke Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) untuk proses selanjutnya.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini bermula 7 pagi dengan beberapa pasukan digerakkan mengikut sektor bagi memperluas kawasan pencarian.

Ashrul Riezal berkata Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM menjalankan pencarian di Sektor A hingga B, iaitu dari kawasan Lata Jebus hingga ke PKTK di Tapak Berkelah Sungai Pertak.

“Pasukan SAR memberi tumpuan di Sektor A petang semalam selepas menerima maklumat seorang penduduk Orang Asli yang terhidu bau dipercayai daripada mayat ketika melalui lokasi itu selepas pulang dari kebun.

“Ketika tinjauan, kita memang mengesan bau di kawasan berkenaan namun tidak dapat menyeberangi sungai kerana paras air masih tinggi, kira-kira dua meter melebihi paras biasa,” katanya ketika dihubungi.

Isnin lepas, lapan lelaki dihanyutkan arus dengan seorang mangsa warga tempatan ditemukan pada 1.30 pagi Selasa di kawasan Jambatan Pertak, kira-kira 2.7 kilometer dari lokasi kejadian di Lata Jebus.

Empat lagi mangsa warga asing ditemukan pada pagi hari sama di kawasan Jambatan Senget dan Jambatan Gantung, kira-kira 950 meter hingga satu kilometer dari Lata Jebus.

Lata Jebus dipercayai lokasi tujuh daripada lapan mangsa dihanyutkan arus, manakala seorang lagi mangsa dipercayai dihanyutkan dari kawasan berhampiran Tapak Berkelah Sungai Pertak.

Sementara itu, Ashrul Riezal ketika ditemui di lokasi berkata mayat mangsa ditemui pasukan penyelamat kira-kira satu kilometer dari PKTK.

“Mayat mangsa ditemukan terapung berhampiran tebing selepas pasukan penyelamat mengalihkan timbunan sampah yang terkumpul di kawasan itu menggunakan bot aluminium,” katanya.

Beliau berkata mayat kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses pengecaman. – BERNAMA

The post Tragedi Sungai Pertak: Satu lagi mayat ditemukan, dua masih hilang appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved