
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak malam (29 Julai) tadi, hangat di media sosial pendedahan hasil laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 sehingga 2020.
Pendedahan laporan setebal lebih 200 muka surat itu nyata mengejutkan ramai pihak apatah lagi TH menjadi tempat menyimpan dana haji dan pelaburan umat Islam di negara ini.
TH Isytihar Agihan Keuntungan Hibah Yang Tinggi, Melampaui Kemampuan Kewangan
Antara perkara yang menjadi perhatian adalah TH tidak sepatutnya mengisytihar agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.5% dan agihan keuntungan (hibah) haji sebanyak 1.75% yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2.75 bilion pada tahun kewangan 2017.
Dedah RCI, keghairahan TH untuk membayar agihan hibah pada kadar yang tinggi sepanjang tempoh 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan menjadi antara faktor agensi itu berdepan dengan krisis kewangan.
Dalam laporan sama, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif untuk pengiystiharan agihan keuntungan yang tinggi.
Jabatan Audit Negara Tak Sepatutnya Beri Sijil Audit Bersih Kepada TH
Hasil dapatan RCI juga mendapati penyata kewangan TH dari tahun 2014 sehingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih meskipun laporan audit pada tahun 2017 ada menyebut mengenai Emphasis of Matter.
Berdasarkan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya memberikan sijil tersebut pada tahun kewangan berkenaan.
Ini kerana perkara yang dinyatakan sebagai Emphasis of Matter itu sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.
Penjelasan mengenai kenyataan itu juga menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) dalam penemuannya telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit sewaktu mengaudit penyata kewangan tersebut.
Keadaan ini jelas menunjukkan JAN tidak tegas dalam mengaudit penyata kewangan TH.
Gagal Tegur Pemberian Keuntungan (Hibah) Yang Tinggi Antara Ketidaktegasan JAN
Malah RCI turut menyifatkan ketidaktegasan JAN boleh dilihat apabila agensi itu gagal menegur TH mengenai pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang tempoh 2014 sehingga 2017.
Jelas RCI, pembayaran agihan keuntungan tinggi yang dibuat sebelum tahun 2018 menyebabkan rizab TH menyusut.
“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.
“Ini mendedahkan TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” jelas mereka.
Berlaku Penurunan Deposit TH Pada Tahun 2019
Jelas RCI, perkara tersebut berlaku pada tahun 2019 iaitu selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25% yang menunjukkan terdapat penurunan dalam deposit.
“Saiz deposit TH menurun daripada kira-kira RM73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019.
“TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” jelas laporan sama.
Oleh itu menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran kepada TH mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang jelas bertentangan dengan kemampuan kewangan TH.
Sebelum ini, media melaporkan Jemaah Menteri telah bersetuju untuk menyahklasifikasi dan mendedahkan laporan RCI mengenai pengurusan serta TH bagi tempoh 2014 sehingga 2020.
Selain penemuan siasatan, dokumen yang mula dimuat naik di laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak malam tadi itu turut mengandungi syor penambahbaikan dan operasi TH.
Sebagai info, RCI Tabung Haji ditubuhkan pada tahun 2021 bagi menyiasat isu tadbir urus dan pengurusan operasi TH khususnya melibatkan tempoh dari 2014 hingga 2020.
Ia dianggotai oleh enam pesuruhjaya yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif.
Manakala, lima lagi anggota lain merupakan:
- Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman
- Pengasas RHB Group, Tan Sri Abdul Rashid Hussain
- Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid
- Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) Prof Dr Asmadi Mohamed Naim
- Akauntan bertauliah, Norsyahrin Hamidon
Baca Artikel Berkaitan:
Tabung Haji Rugi RM10 Bilion Sebab Tak Ikut Peraturan & Banyak Masalah Sejak 2014 – Anwar






