Tabung Haji guna 'perakaunan kreatif' bayar hibah melebihi kemampuan kewangan - RCI

LocalBusiness & Finance
30 Jul 2026 • 8:35 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tabung Haji guna 'perakaunan kreatif' bayar hibah melebihi kemampuan kewangan - RCI Image from: Tabung Haji guna 'perakaunan kreatif' bayar hibah melebihi kemampuan kewangan - RCI johardy30/07/2026 - 08:35 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Julai – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendedahkan Lembaga Tabung Haji (TH) menggunakan amalan yang disifatkan sebagai "perakaunan kreatif" bagi membolehkan pembayaran hibah yang tinggi antara 2014 hingga 2017 walaupun kedudukan kewangannya tidak lagi mampu menampung agihan berkenaan.

 

Menurut laporan RCI yang dinyahklasifikasikan, amalan itu menyebabkan rizab TH semakin susut apabila hibah diisytiharkan melebihi kemampuan sebenar institusi berkenaan.

 

RCI mendapati TH menggunakan kaedah Nilai Aset Boleh Direalisasikan (Realisable Asset Value atau RAV), bukannya nilai aset yang direkodkan dalam penyata kewangan beraudit, bagi menentukan pematuhan terhadap Seksyen 22 Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) sepanjang tempoh empat tahun itu.

 

Penggunaan RAV meningkatkan nilai aset TH melebihi nilai yang dilaporkan dalam penyata kewangan beraudit, manakala pelarasan rosot nilai terhadap pelaburan yang nilainya merosot di bawah kos pemerolehan pula tidak dibuat.

 

"Pengurusan TH berhujah bahawa Seksyen 22 Akta 535 tidak memberikan takrif yang jelas mengenai 'aset'. Oleh itu, pengurusan berpendapat mereka mempunyai budi bicara untuk menentukan kaedah penilaian aset," menurut laporan RCI.

 

Suruhanjaya itu turut mendapati pembayaran hibah yang tinggi berjaya menarik lebih ramai pendeposit yang mengharapkan pulangan lumayan, namun dalam masa sama menyebabkan TH semakin menyimpang daripada mandat asal penubuhannya serta terdedah kepada risiko pengeluaran deposit secara besar-besaran sekiranya kadar hibah menurun.

 

Pendeposit mula mengeluarkan simpanan

Menurut laporan itu, risiko berkenaan mula menjadi kenyataan pada 2019 apabila TH mengumumkan hibah 1.25%.

 

Jumlah deposit menyusut kepada RM69 bilion pada akhir 2019 berbanding kira-kira RM73 bilion sebelum pengumuman hibah dibuat.

 

RCI bagaimanapun berkata TH bernasib baik kerana pengeluaran simpanan ketika itu tidak sebesar yang dijangkakan.

 

Tekanan untuk terus mengekalkan hibah tinggi turut mendorong TH mengambil risiko pelaburan yang lebih besar apabila portfolio pelaburannya semakin tertumpu kepada ekuiti yang lebih terdedah kepada turun naik pasaran.

 

RCI berkata, penemuan itu berpunca daripada kebimbangan yang dibangkitkan Ketua Audit Negara (KAN) berhubung ketidakselarasan dasar rosot nilai aset kewangan TH pada 2017 apabila dasar berkenaan dipinda sebanyak dua kali.

 

KAN turut mendapati TH gagal mengiktiraf kerugian rosot nilai berjumlah RM227.81 juta membabitkan pelaburan dalam tiga subsidiari dan tiga syarikat bersekutu, termasuk RM164.58 juta berkaitan TH Heavy Engineering Bhd.

 

Susulan penemuan itu, TH melantik PricewaterhouseCoopers (PwC) untuk mengkaji kedudukan kewangannya bagi tempoh 2014 hingga 2017.

 

PwC kemudian mendapati TH sebenarnya telah berada dalam kedudukan defisit aset berbanding liabiliti sejak 2014.

 

TH sepatutnya rugi RM1.4 bilion pada 2017

Menurut RCI, sekiranya Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) dilaksanakan sepenuhnya pada 2017, TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion dan bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan dalam penyata kewangannya.

 

Penemuan itu menunjukkan kedudukan kewangan TH ketika itu sebenarnya berada pada tahap yang kritikal.

 

RCI turut menyifatkan ketegasan Jabatan Audit Negara (JAN) yang tidak mencukupi sebagai antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan TH.

 

Menurut suruhanjaya itu, TH tidak sepatutnya menerima pendapat audit tanpa teguran (*unqualified audit opinion*) bagi penyata kewangan tahun 2017.

 

Walaupun laporan audit 2017 mengandungi penekanan terhadap sesuatu perkara (*emphasis of matter*), penyata kewangan TH bagi tempoh 2014 hingga 2017 masih diberikan pendapat audit tanpa teguran.

 

Laporan itu memetik surat Ketua Audit Negara bertarikh 19 Disember 2018 kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menunjukkan pendapat audit berkelayakan (qualified audit opinion) pada asalnya dicadangkan sekiranya TH tidak mengiktiraf kerugian rosot nilai RM227.81 juta serta tidak menyelesaikan isu perubahan dasar rosot nilai aset kewangan.

 

Bagaimanapun, Ketua Audit Negara akhirnya memutuskan untuk mengeluarkan pendapat audit tanpa teguran dengan memasukkan penekanan terhadap sesuatu perkara kerana bimbang pendapat audit berkelayakan boleh menjejaskan keyakinan pihak berkepentingan, khususnya pendeposit.

 

Menurut RCI, keputusan itu menunjukkan Ketua Audit Negara telah mengambil kira pertimbangan di luar skop pengauditan, sedangkan isu yang dibangkitkan sepatutnya dianggap sebagai ketidakpatuhan terhadap piawaian perakaunan.

 

"Tanpa pendapat audit tanpa teguran, TH tidak sepatutnya mengisytiharkan hibah tahunan 4.5% dan hibah haji tambahan 1.75% yang melibatkan pembayaran RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017," menurut laporan itu.

 

RCI turut mengkritik Jabatan Audit Negara kerana gagal mempersoalkan pembayaran hibah yang tinggi antara 2014 hingga 2017 walaupun agihan itu melebihi kemampuan kewangan sebenar TH.

 

Subsidi haji semakin membebankan

Selain menyifatkan krisis kewangan TH berpunca daripada peranan institusi itu yang berkembang sebagai "tonggak ekonomi ummah" sehingga menyimpang daripada mandat asalnya dan terlalu agresif melabur dalam sektor hartanah serta perladangan tanpa kepakaran mencukupi, RCI turut mengenal pasti Skim Bantuan Kewangan Haji (Hafis) sebagai beban kewangan yang semakin meningkat.

 

Bagi tempoh 2014 hingga 2019, jemaah haji Muassasah hanya dikenakan bayaran RM9,980 seorang, manakala baki kos ditanggung menerusi Hafis.

 

Jumlah subsidi meningkat daripada RM106 juta pada 2014 kepada RM300 juta pada 2019.

 

Walaupun TH memperkenalkan struktur bayaran haji dua peringkat pada 2022 iaitu RM10,980 bagi jemaah B40 dan RM12,980 bagi bukan B40, RCI berpandangan beban subsidi itu masih kekal tinggi.

 

Suruhanjaya menganggarkan Hafis memerlukan hampir RM400 juta setahun bermula 2022, manakala jumlah perbelanjaan tahunan dijangka meningkat kepada RM742.47 juta menjelang 2030 sekiranya kos menunaikan haji terus meningkat tanpa perubahan kadar bayaran jemaah.

 

RCI menjelaskan Hafis dibiayai menggunakan pulangan pelaburan TH, justeru peningkatan kos subsidi akan mengurangkan kadar hibah kepada pendeposit serta meningkatkan risiko pendeposit berskala besar memindahkan simpanan mereka ke institusi lain.

 

Menurut suruhanjaya itu, TH memerlukan sekurang-kurangnya RM60 bilion dalam bentuk deposit bagi memastikan skim berkenaan dapat diteruskan pada tahap semasa, manakala peningkatan subsidi pada masa hadapan dijangka menyebabkan institusi itu semakin bergantung kepada pendeposit besar. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved