Jabatan Imigresen Malaysia Sabah tolak dakwaan rasuah

LocalPolitics
22 Aug 2025 • 2:23 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

SEMPORNA: Pengarah Imigresen Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Yussof menafikan dakwaan pegawainya terbabit dalam amalan rasuah, khususnya dalam sektor pelancongan.

Beliau menjawab kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing yang mendakwa wujud tanda-tanda rasuah dalam Jabatan Imigresen susulan lawatan dua harinya ke Tawau dan Semporna minggu lalu.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Tiong kononnya pegawai kami menerima rasuah daripada pelancong China.

“Kami sentiasa aktif menjalankan operasi penguatkuasaan dan akan bertindak segera atas aduan awam atau maklumat risikan,” katanya pada sidang media di Pejabat Imigresen Semporna.

Sitti meminta Menteri berkenaan bertanggungjawab terhadap kenyataannya dan mengemukakan bukti, bukannya membuat tuduhan umum.

“Jika ada aduan, serahkan bersama bukti. Itu lebih adil kepada pegawai kami yang terkesan dengan dakwaan sebegini,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini tiada aduan diterima, termasuk daripada pelancong China di Semporna, namun menegaskan sekiranya terdapat salah laku dibuktikan, jabatan tidak akan berkompromi kerana perbuatan itu menjejaskan imej negara dan integriti jabatan.

Sementara itu, katanya, sehingga 13 Ogos tahun ini, sejumlah 145,711 pas pekerja asing telah dikeluarkan di Sabah.

Daripada jumlah itu, 121,199 adalah warga Indonesia dan 21,442 warga Filipina yang bekerja dalam tujuh sektor pekerjaan.

“Tujuh sektor itu ialah pembantu rumah (3,608), pembinaan (5,550), perkhidmatan (8,154), pembuatan (8,333), perladangan (90,825), perlombongan (67) dan pertanian (29,174).

“Selain itu, sebanyak 5,121 direkodkan menerusi Sistem Permohonan Pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (ePLKS),” katanya.

Sitti berkata jabatan menghormati keputusan Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Negeri untuk menangguhkan sementara operasi penguatkuasaan di sektor perladangan bagi membolehkan sistem pengumpulan data dijalankan.

Namun, beliau mengingatkan majikan supaya tidak melengah-lengahkan pendaftaran pekerja dalam tempoh enam bulan yang diberikan bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

“Kami sudah membincangkan perkara ini dengan Kerajaan Negeri dan buat masa ini operasi di sektor perladangan seluruh Sabah ditangguhkan sehingga arahan baharu dikeluarkan.

“Ini bermakna penguatkuasaan kami kini tertumpu kepada sektor lain, tetapi jika terdapat aduan terhadap sektor perladangan dan disahkan benar, operasi tetap akan dijalankan,” katanya.

Mengenai isu lain, Sitti mengakui kenyataan Konsul Republik Indonesia di Tawau, Aris Heru Utomo, bahawa terdapat kes status kewarganegaraan tidak jelas dalam kalangan warga asing yang ditahan, sekali gus melambatkan proses penghantaran pulang.

Beliau berkata kes sebegini hanya melibatkan sebilangan kecil tahanan, misalnya ada yang pada awalnya mengaku warga Indonesia tetapi kemudiannya dikenal pasti sebagai warga Filipina.

“Kes seperti ini memang berlaku, tetapi penentuan kewarganegaraan juga berdasarkan pengakuan tahanan sendiri.

“Contohnya, ada yang mendakwa warga Indonesia kerana ibu mereka Indonesia manakala bapa pula warga Filipina,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Imigresen menjalankan saringan teliti terhadap status kewarganegaraan tahanan, termasuk temu bual dengan ahli keluarga yang melawat di Depot Tahanan Imigresen (DTI).

Beliau menegaskan ada tahanan yang perlu ditahan lebih lama sekiranya status kewarganegaraan mereka tidak dapat disahkan, bagi membolehkan siasatan lanjut sebelum penghantaran pulang dibuat.

“Pendaftaran kewarganegaraan ditentukan oleh Jabatan Imigresen berdasarkan pengakuan lisan tahanan, namun kedutaan berkaitan mempunyai akses untuk mengesahkan identiti sebenar mereka, misalnya melalui etnik dan kampung asal,” katanya.