
SEPANG – Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berdepan kekangan untuk menjadi venue gantian Grand Prix (GP) Qatar sekiranya perlumbaan itu dibatalkan susulan konflik di Timur Tengah.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, berkata dakwaan mengenai kemungkinan pembatalan GP Qatar ketika ini masih di peringkat spekulasi dan pihaknya belum menerima sebarang perbincangan rasmi daripada pemegang pemegang hak komersial MotoGP, Dorna Sports
Bagaimanapun, beliau menjelaskan penganjuran perlumbaan gantian di Sepang sejurus perlumbaan GP Malaysia akan berdepan kekangan besar kerana litar berkenaan sudah mempunyai komitmen lain, termasuk Pusingan 5 Kejuaraan China GT 2026 yang dijadual berlangsung dari 6 hingga 8 November ini.
“Pertama sekali, perkara itu masih spekulasi, sama ada GP Qatar diteruskan atau tidak. Belum ada sebarang perbincangan atau makluman daripada pihak MotoGP mahupun penganjur di sana untuk kita menggantikan perlumbaan berkenaan.
“Kalau ditanya sama ada litar kita boleh digunakan minggu depan selepas penganjuran GP Malaysia, jawapannya memang akan bertembung dengan jadual perlumbaan lain. Kita sudah menerima tempahan untuk perlumbaan China GT dengan jangkaan ramai penonton dari China akan hadir,” katanya pada sidang media kawalan trafik dan taklimat keselamatan sempena GP Malaysia di sini, hari ini.
GP Qatar yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 10 hingga 12 April lalu di Litar Antarabangsa Lusail, namun terpaksa ditangguhkan susulan konflik di Timur Tengah dan kini ditetapkan pada 6 hingga 8 November ini.
Mengulas lanjut, Azhan Shafriman berkata, urusan logistik yang sudah diatur turut menyukarkan sebarang perubahan jadual dilakukan dalam tempoh singkat.
“Mengenai perubahan jadual perlumbaan, nampaknya memang sukar kerana segala urusan logistik dan kargo perlumbaan China GT sudah pun dalam perjalanan ke sini. Jadi, banyak perkara yang kita tidak boleh ubah pada saat ini,” katanya.
Selain kekangan jadual, beliau menegaskan penganjuran perlumbaan bertaraf dunia seperti MotoGP turut membabitkan kos yang besar serta memerlukan persetujuan pelbagai pihak sebelum sebarang keputusan dapat dimuktamadkan.
“Sebelum kita berkata ya, pertimbangan nombor satu ialah kos, iaitu siapa yang akan menanggung perbelanjaan penganjuran itu? Kedua, kita perlu melihat kekosongan jadual litar.
“Paling utama, ia bukan keputusan SIC semata-mata, sebaliknya keputusan akhir memerlukan persetujuan antara kedua-dua kerajaan serta pemegang hak kejuaraan,” katanya.
Dalam pada itu, Azhan Shafriman berharap ketegangan di rantau Timur Tengah dapat reda secepat mungkin demi keselamatan semua pihak serta kelangsungan sukan permotoran antarabangsa di rantau berkenaan. -KOSMO! ONLINE
The post Jadual Sepang padat, sukar ganti GP Qatar appeared first on Kosmo Online.






