Jaga 5 Waktu Makan Ini Untuk Bantu Anda Jaga Badan

Health & Fitness
1 Dec 2025 • 5:23 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Jaga 5 Waktu Makan Ini Untuk Bantu Anda Jaga Badan

Ramai orang yang beranggapan mereka perlu berlapar atau skip waktu makan untuk kurus sedangkan pendekatan sebegini sebenarnya boleh memberi kesan yang sebaliknya.

Tubuh manusia memerlukan tenaga secara konsisten untuk mengekalkan metabolisme yang sihat dan memastikan hormon lapar terkawal.

Tanpa rutin makan yang betul, kita lebih cenderung untuk makan berlebihan atau memilih makanan tidak sihat pada waktu tertentu yang akhirnya menghalang proses penurunan berat badan.

Rahsia sebenar untuk menurunkan berat secara sihat bukanlah soal berlapar tetapi menguruskan waktu makan dengan bijak.

Dengan mengikuti lima waktu makan yang tepat, tubuh dapat menstabilkan paras gula darah, mengawal keinginan makan serta memastikan tenaga kekal sepanjang hari.

Ia bukan sahaja memudahkan anda untuk kekal kenyang tetapi juga menyokong metabolisme supaya kalori dibakar lebih efisien.

Dalam artikel ini, kita akan membincangkan lima waktu makan penting yang membantu anda kurus dengan lebih cepat dan sihat.

Lengkap dengan cadangan hidangan yang sesuai untuk setiap waktu. Dengan memahami dan mengamalkan waktu makan ini, bukan sahaja berat badan dapat dikawal malah kesihatan tubuh dan mood harian anda juga akan menjadi lebih stabil.

1. Sarapan (7.00 – 9.00 pagi)

Sarapan sering dianggap sebagai makanan paling penting dalam sehari dan ini bukanlah mitos.

Sebaik sahaja anda bangun, tubuh memerlukan tenaga untuk menghidupkan sistem metabolisme dan menyediakan badan untuk aktiviti harian.

Sarapan yang seimbang dapat membantu tubuh menstabilkan gula darah dan mengawal selera makan. Ia juga mengurangkan keinginan untuk mengambil makanan manis atau berminyak pada waktu tengah hari.

Mengambil sarapan dalam masa dua jam selepas bangun pagi dapat memberikan tubuh masa yang cukup untuk memecahkan nutrien dan menukarkannya kepada sumber tenaga.

Anda tidak perlu hidangan mewah. Cukup dengan kombinasi mudah seperti oat, telur, yogurt atau roti gandum bagi memastikan anda kenyang lebih lama dan fokus sepanjang pagi.

2. Snek pagi (10.00 – 11.00 pagi)

Ramai yang mengabaikan snek pagi kerana menyangka ia boleh menambah kalori. Namun snek pagi sebenarnya membantu menstabilkan paras gula darah dan mengelakkan rasa terlalu lapar sebelum makan tengah hari.

Bila anda terlalu lapar, anda cenderung untuk makan tanpa kawalan dan mengambil lebih banyak daripada yang diperlukan.

Snek pagi berfungsi sebagai penimbal yang akan mengelakkan lonjakan lapar mendadak dan memastikan mood kekal stabil.

Pilihlah snek sederhana seperti kacang-kacang, buah segar, yogurt rendah lemak atau biskut serat tinggi. Snek kecil ini cukup untuk memberikan tenaga tambahan tanpa membuatkan perut terasa berat.

Malah ia juga dapat membantu anda kekal cergas sehingga ke waktu makan seterusnya.

3. Makan tengah hari (12.30 – 2.00 petang)

Waktu makan tengah hari ialah masa terbaik untuk mengambil hidangan yang paling seimbang dan lengkap. Ini kerana tubuh anda berada pada tahap tenaga optimum.

Hidangan tengah hari yang disusun mengikut konsep Pinggan Sihat Malaysia iaitu separuh sayur, suku protein dan suku karbohidrat.

Ianya terbukti membantu mengekalkan tenaga, meningkatkan fokus dan memudahkan penghadaman. Sayur dapat memberikan serat, protein membantu membina otot dan memberi rasa kenyang.

Manakala karbohidrat kompleks pula dapat membekalkan tenaga berpanjangan. Di sinilah anda boleh mengambil sedikit portion yang lebih besar berbanding makan malam kerana tubuh masih mempunyai masa untuk membakar tenaga yang diambil.

Makan tengah hari yang seimbang juga dapat mengelakkan anda daripada mengambil makanan ringan secara berlebihan pada waktu petang.

4. Snek petang (4.00 – 6.00 petang)

Snek petang memainkan peranan penting dalam membantu anda mengelakkan binge eating atau makan berlebihan pada waktu malam.

Selepas seharian bekerja atau melakukan aktiviti fizikal, tubuh memerlukan sedikit tenaga tambahan untuk mengekalkan kecergasan sehingga malam.

Jika anda biarkan diri terlalu lapar pada waktu petang, risiko untuk mengambil makanan tidak sihat akan meningkat. Anda lebih cenderung memilih burger, gorengan atau minuman manis pada waktu malam.

Oleh itu, pilihlah snek ringan seperti smoothie tanpa gula, popcorn tanpa mentega, roti gandum dengan sapuan kacang atau buah-buahan.

Snek petang bukan sahaja membantu mengawal keinginan makan. Ia juga memastikan sistem tubuh kekal stabil dan tidak terkejut dengan perubahan paras gula darah.

5. Makan malam (7.00 – 8.30 malam)

Makan malam bukanlah musuh kepada diet seperti yang sering diperkatakan. Yang penting ialah memilih hidangan yang lebih ringan dan mudah dihadam berbanding waktu makan tengah hari.

Makan terlalu berat pada waktu malam boleh mengganggu tidur, menyukarkan proses pencernaan dan akhirnya menambah berat badan.

Makanan berprotein seperti ayam grill, ikan stim atau sup bersama sayuran adalah pilihan terbaik kerana ia memberikan rasa kenyang tanpa beban kalori yang tinggi.

Elakkan juga makan terlalu lewat. Mengosongkan perut  sekurang-kurangnya dua hingga tiga jam sebelum tidur dapat membantu sistem penghadaman berfungsi dengan lebih baik.

Makan malam yang betul bukan sahaja membantu proses kawalan berat badan malah membuatkan tidur lebih lena dan tubuh lebih segar pada keesokan hari.

Mengapa penting untuk mengikuti lima waktu makan ini? Ini kerana tubuh manusia bergantung kepada rutin yang stabil untuk berfungsi dengan baik.

Bila anda makan pada waktu yang konsisten, hormon lapar dapat dikawal dengan lebih seimbang. Ianya sekaligus mengurangkan keinginan untuk mengunyah makanan manis atau craving yang sering menggagalkan diet.

Pada masa yang sama, paras gula dalam darah juga kekal stabil. Keadaan ini dapat mengelakkan anda daripada rasa terlalu lapar secara tiba-tiba yang boleh membawa kepada tabiat makan berlebihan pada satu-satu waktu.

Rutin makan yang teratur turut menyokong metabolisme badan dan membantu tubuh membakar kalori secara lebih efisien sepanjang hari.

Hasilnya, anda bukan sahaja rasa lebih bertenaga malah emosi dan mood juga menjadi lebih stabil kerana tubuh mendapat bekalan tenaga yang mencukupi dan tidak mengalami turun naik gula darah yang mendadak.

Dengan kata lain, lima waktu makan ini bukan sekadar jadual. Ia adalah asas kepada pengurusan berat yang sihat dan kehidupan harian yang lebih seimbang.

Secara keseluruhannya, menguruskan waktu makan bukan sekadar soal disiplin tetapi ia adalah cara untuk menghormati keperluan tubuh.

Dengan menetapkan lima waktu makan utama ini, tubuh anda akan berada dalam keadaan stabil, lapar terkawal dan metabolisme bekerja dengan lebih cekap.

Berat badan tidak akan turun serta-merta tetapi konsistensi inilah yang akhirnya membawa kepada perubahan yang sihat dan berkekalan.

Sumber : nm.org, nhs.uk

BACA : MamaKerja Selangor: Insentif RM100 Sebulan Untuk Ibu Bekerja

The post Jaga 5 Waktu Makan Ini Untuk Bantu Anda Jaga Badan appeared first on Siakap Keli.