‘Jaga makan, jaga kesihatan, sebab itu organ Aidil dalam keadaan baik’

LocalHealth & Fitness
20 Nov 2026 • 2:46 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Jaga makan, jaga kesihatan, sebab itu organ Aidil dalam keadaan baik’

PETALING JAYA – Tabiat Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, yang sentiasa menjaga kesihatan dan pemakanan menjadi perhatian apabila organ serta tisu miliknya didapati berada dalam keadaan baik untuk didermakan selepas pemergiannya.

Lebih menyentuh hati, Allahyarham yang merupakan kakitangan di sebuah kafe itu juga dikenali sebagai seorang pemuda yang sentiasa mengukir senyuman selain mempunyai sifat pemurah dan gemar membantu orang lain.

Menerusi satu perkongsian di TikTok, kakak Allahyarham, Siti Hajar, mendedahkan adiknya seorang yang sangat menitikberatkan penjagaan kesihatan, termasuk tidak merokok dan mengira pengambilan kalori setiap hari.

Perkara itu turut dikongsikan Hajar ketika ditemu bual sebuah stesen radio apabila doktor memaklumkan organ Allahyarham berada dalam keadaan baik kerana dia menjaga pemakanan sepanjang hayatnya.

Menurutnya, amalan tersebut sememangnya menjadi sebahagian daripada rutin harian Aidil yang sentiasa mengambil berat tentang kesihatan diri.

“Organ dia semua cantik sebab dia orang yang jaga pemakanan, dia orang yang diet yang kira kalori dia tiap-tiap hari makan macam mana dan tak merokok,” katanya.

Perkongsian itu mengundang sebak dalam kalangan netizen yang rata-rata kagum dengan cara Allahyarham menjaga kesihatan, lebih-lebih lagi apabila keluarganya mengambil keputusan untuk mendermakan organ dan tisu arwah bagi membantu insan lain.

“Bukan setakat luaran sahaja cantik, Alhamdulillah organ-organ dia pun elok,” tulis @IbuDanishDhafwatul.

“Kakak dia maklum dia memang jaga makan, jaga kesihatan dan tak merokok. Jenis main gym dan makan kira kalori hari-hari,” komen @MamiZyyn pula.

Seorang lagi pengguna, @Puteri Saadong menyifatkan pemergian Aidil sebagai satu pengorbanan besar apabila organ miliknya berpeluang membantu menyelamatkan nyawa insan lain.

“Rupanya dia jaga kesihatan untuk selamatkan 10 nyawa yang lain. Masya-Allah, semoga Allah beri ganjaran syurga buatmu dik. Amin,” katanya.

Sementara itu, ada juga yang menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang hebat kerana bukan sahaja mempunyai niat untuk menderma organ, malah sentiasa memastikan kesihatannya berada dalam keadaan baik.

“Hebat orangnya. Niat derma organ dan dia jaga semua serta pastikan semua dalam keadaan baik. Masya-Allah, moga syurga buatnya,” tulisnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan keluarga Allahyarham bersetuju mendermakan organ dan tisu arwah termasuk buah pinggang, paru-paru, kornea mata serta tulang, kecuali kulit selepas disahkan mengalami kematian otak susulan kemalangan motosikal di Kelantan.

Keputusan itu dibuat keluarga sebagai usaha meneruskan kebaikan Aidil yang sememangnya dikenali sebagai seorang pemurah dan tidak pernah lokek membantu orang lain ketika hayatnya.- KOSMO! ONLINE

The post ‘Jaga makan, jaga kesihatan, sebab itu organ Aidil dalam keadaan baik’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved