Organ Allahyarham Aidil Ahmad Selamatkan 10 Nyawa, Bomba Terbangkan Hati, Mata, Buah Pinggang Ke Subang

LocalHealth & Fitness
20 Nov 2026 • 11:32 AM MYT
Beautifulnara
Beautifulnara

Cerita dan gosip artis terbaru, sensasi dan panas

Pemergian seorang pemuda berusia 23 tahun, Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupardi selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya bukan sahaja meninggalkan kesedihan buat keluarga, malah organ yang didermakan kini memberi harapan baharu kepada pesakit lain.

Bahagian Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan penerbangan khas bagi membawa organ Allahyarham dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan ke Subang pada Khamis, 19 November 2026.

Advertisement

Operasi pemindahan perubatan kecemasan (Medevac) itu melibatkan hati, buah pinggang, mata dan tulang yang bakal digunakan bagi membantu pesakit yang memerlukan.

Bomba Guna Helikopter AW139 Bawa Organ Arwah Aidil

Menurut Bahagian Udara JBPM, operasi pemindahan organ tersebut dilaksanakan menggunakan helikopter AW139 (9M-BOC) dengan keseluruhan penerbangan mengambil masa kira-kira tiga jam 30 minit.

View this post on Instagram

Penerbangan berkenaan turut disertai dua doktor perubatan dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) yang bertanggungjawab mengiringi organ tersebut.

“Penerbangan turut disertai dua doktor perubatan dari Hospital Universiti Sains Malaysia yang membawa organ itu ke Institut Jantung Negara, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Selayang menggunakan perkhidmatan ambulans.

“Penerbangan BMB06 diketuai oleh Timbalan Penguasa Bomba I, Ahmad Fissol Ismail dilaksanakan dengan jaya dan selamat.”

Selain Ahmad Fissol, tiga lagi anggota yang terlibat ialah Penguasa Kanan Bomba II Robert, Pegawai Bomba Tinggi II Hasnol dan Pegawai Bomba Amir.

Walaupun berdepan keadaan cuaca mendung serta hujan renyai di beberapa kawasan, operasi tersebut berjaya dilaksanakan dengan selamat.

Helikopter berkenaan dilaporkan tiba di Subang pada pukul 10.42 pagi sebelum organ yang dibawa dihantar ke hospital penerima menggunakan ambulans.

Arwah Aidil Pernah Suarakan Hasrat Menderma Organ

Difahamkan, Allahyarham Muhammad Aidil sebelum ini pernah menyuarakan hasrat untuk mendermakan organ bagi membantu individu lain yang memerlukan.

Menurut ibunya, Che Sharifah Che Mat Soud, 63, walaupun Allahyarham tidak pernah mendaftar secara rasmi sebagai penderma organ, keluarga bersetuju meneruskan pendermaan selepas mengetahui hasrat yang pernah disuarakan arwah kepada rakannya.

d Image from: Organ Allahyarham Aidil Ahmad Selamatkan 10 Nyawa, Bomba Terbangkan Hati, Mata, Buah Pinggang Ke Subang

Keputusan itu dibuat selepas pihak perubatan memaklumkan bahawa Muhammad Aidil mengalami kematian otak akibat kecederaan serius dalam kemalangan, namun organ tertentu masih berada dalam keadaan sesuai untuk didermakan.

Ibunya turut dimaklumkan mengenai pesakit yang sedang menunggu pemindahan organ, termasuk seorang bayi berusia 11 bulan yang memerlukan buah pinggang.

Keluarga berharap keputusan mendermakan organ Muhammad Aidil dapat membantu mereka yang sedang berjuang untuk meneruskan kehidupan.

Apa Terjadi Terhadap Allahyarham Aidil?

Terdahulu, Muhammad Aidil dilaporkan terlibat dalam kemalangan motosikal pada Selasa, 17 November lalu ketika keluar untuk bertemu rakannya di kawasan Padang Tembak, Kelantan.

Allahyarham yang merupakan bekas pelajar Diploma Pengurusan Pentadbiran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang kemudiannya menerima rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).

Bagaimanapun, kecederaan serius yang dialaminya menyebabkan beliau disahkan mengalami kematian otak.

Keluarga kemudiannya memberikan persetujuan untuk mendermakan organ Allahyarham bagi membantu pesakit lain.

Sebelum ini, perkongsian di media sosial mengenai penghormatan terakhir yang diberikan kakitangan HPUSM kepada Allahyarham turut mendapat perhatian ramai.

Rakaman berkenaan memperlihatkan suasana penuh emosi ketika kakitangan hospital memberikan penghormatan kepada Muhammad Aidil sebelum proses pendermaan organ dijalankan.

Lampu hijau yang dipaparkan turut dikaitkan dengan simbolik penghormatan kepada penderma organ.

Jenazah Allahyarham kemudian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Puteri, Padang Tembak, Pengkalan Chepa pada Khamis, 19 November sekitar pukul 2.18 petang.

Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

Image from: Organ Allahyarham Aidil Ahmad Selamatkan 10 Nyawa, Bomba Terbangkan Hati, Mata, Buah Pinggang Ke Subang2026-11-19 14:33:25

“Macam Dalam Hotel” - Netizen Teruja Tengok Menu Makanan Hospital Kerajaan, Hidangan Seperti Hotel Lima Bintang!

The post Organ Allahyarham Aidil Ahmad Selamatkan 10 Nyawa, Bomba Terbangkan Hati, Mata, Buah Pinggang Ke Subang first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved