
MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) akan menjalankan siasatan berhubung klip video memaparkan aksi ‘manja’ sepasang lelaki dan wanita berpelukan di sebuah kedai makan di Malim Jaya, di sini, yang tular di media sosial sejak semalam.
Video berdurasi 11 saat itu memaparkan lelaki berkenaan melentokkan kepala di bahu wanita terbabit sebelum kepalanya dirangkul dan dibelai mesra ketika berada di premis awam.
Aksi tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen apabila rata-rata mengecam perbuatan berkenaan yang dianggap kurang sesuai dipamerkan di khalayak ramai meskipun sekiranya pasangan terbabit mempunyai ikatan sah sebagai suami isteri.
Beberapa komen turut mendakwa pasangan itu merupakan pelajar sebuah institusi pengajian tinggi di kawasan sekitar Malim Jaya, namun perkara berkenaan masih belum dapat disahkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, JAIM akan mengenal pasti identiti pasangan terbabit termasuk status hubungan mereka.
“JAIM akan siasat perkara ini termasuk mengenal pasti sama ada mereka suami isteri atau sebaliknya.
“Kita juga akan melihat dari sudut peruntukan undang-undang syariah yang berkaitan sekiranya terdapat unsur perbuatan tidak sopan di tempat awam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurutnya, walaupun pasangan terbabit mempunyai ikatan perkahwinan, aksi sedemikian tetap tidak wajar dilakukan secara terbuka kerana perlu menjaga adab, kesopanan dan sensitiviti masyarakat.
“Walaupun mereka suami isteri, aksi sedemikian tetap kurang sesuai dilakukan di khalayak ramai kerana kita perlu menjaga adab dan kesopanan.
“Tindakan berkaitan perbuatan tidak sopan di tempat awam boleh diambil mengikut peruntukan di bawah Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post JAIM siasat klip tular aksi ‘manja’ pasangan di kedai makan appeared first on Kosmo Online.






