JAIS siasat ritual bukan Islam libatkan kumpulan lain

17 Oct 2026 • 3:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: JAIS siasat ritual bukan Islam libatkan kumpulan lain
JAIS menahan seorang lelaki beragama Islam disyaki bertindak melakukan ritual agama lain di Kuala Lumpur.

 

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang menyiasat kemungkinan seorang lelaki berusia 21 tahun yang dikaitkan dengan ritual agama bukan Islam turut membabitkan kumpulan lain dalam kegiatan berkenaan.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, siasatan awal mendapati kegiatan itu setakat ini lebih menjurus kepada kepercayaan individu terbabit.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih belum dapat memastikan sama ada kegiatan itu turut mempengaruhi masyarakat atau membabitkan kumpulan lain.

"Buat masa ini ia melibatkan kepercayaan diri sendiri, namun sejauh mana merebak kepada masyarakat, kita belum dapat kenal pasti," katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Beliau menjelaskan, JAIS turut menyiasat beberapa hantaran berkaitan ritual yang didakwa dilakukan di Batu Caves serta amalan dikaitkan dengan agama Hindu, Buddha dan agama lain.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan membuat sebarang kesimpulan sehingga siasatan selesai bagi memastikan setiap tindakan dibuat berdasarkan fakta dan bukti yang sahih.

"Kita tidak boleh menjatuhkan hukum selagi siasatan belum lengkap. Kita perlu berlaku adil dan melaksanakan tanggungjawab mengikut lunas undang-undang serta peraturan," jelas beliau.

Salehuddin berkata, kesahihan bahan bukti turut menjadi keutamaan termasuk kemungkinan kandungan berkenaan disunting atau dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Ujar beliau, kepakaran teknikal akan digunakan bagi menentukan ketulenan bahan berkenaan sebelum sebarang pertuduhan diputuskan.

"Masyarakat kena faham apabila hendak mengambil tindakan di mahkamah, kita kena pastikan semua keterangan itu benar.

"Kadang-kadang kita tahu, boleh jadi superimpose atau AI dan ini kita tidak tahu, mungkin dari segi mata kasar boleh menentukan ia satu kebenaran, tetapi kita tidak boleh membuat keputusan begitu sahaja," tambah beliau.

Jelas beliau, kebenaran itu boleh ditentukan oleh mereka yang pakar bagi menentukan sama ada bahan itu benar, tulen, sudah disunting atau dihasilkan menggunakan AI.

Mengulas dakwaan lelaki itu melakukan perbuatan itu untuk mendapatkan pendapatan, Salehuddin berkata, perkara itu masih belum dapat dipastikan dan bergantung kepada hasil siasatan.

Beliau menegaskan, sebarang penentuan mengenai status agama individu terbabit tidak boleh dibuat secara terburu-buru tanpa siasatan menyeluruh dan nasihat pihak berautoriti.

"Kita tidak mahu terus membuat kesimpulan terlalu cepat tanpa menyelesaikan siasatan terhadap sesuatu tindakan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Salehuddin berkata, lelaki itu dan ibunya yang berusia 52 tahun dibebaskan dengan jaminan selepas keterangan mereka direkodkan.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua mereka boleh dipanggil semula sekiranya diperlukan bagi membantu siasatan lanjut.

"Keputusan seterusnya akan dibuat selepas keterangan individu lain yang berkaitan direkodkan sebelum perkara itu dirujuk kepada Ketua Pendakwa Syarie untuk tindakan selanjutnya," jelas beliau.

Sinar Harian pada Selasa lalu melaporkan, JAIS mengesahkan seorang lelaki beragama Islam disyaki bertindak melakukan ritual agama lain dan ibunya ditangkap di Kuala Lumpur tengah hari Selasa bagi membantu siasatan kes yang tular baru-baru ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, tangkapan terhadap dua individu itu dilaksanakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menerusi waran tangkap bersaling yang dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved