KUALA LUMPUR - Bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, mengesahkan beliau antara dua individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam satu kes khalwat di Petaling Jaya, Khamis lalu.
Dalam kenyataan hari ini, Nik Nazmi menjelaskan, beliau pada awalnya mengadakan perbincangan bersama rakan-rakan di sebuah studio di Brickfields, di sini, sebelum mengambil keputusan menyambung perbincangan di Petaling Jaya bagi meneliti bahan berkaitan projek berkenaan.
Menurutnya, ketika pegawai JAIS tiba di lokasi, hanya beliau dan seorang wanita berada di situ.
Mengakui kesilapan berada bersama wanita berkenaan dalam keadaan itu, Nik Nazmi bagaimanapun menegaskan, tiada perlakuan tidak senonoh berlaku antara mereka.
“Saya mengakui itu adalah suatu kesalahan. Seperti yang saya maklumkan juga kepada Pegawai JAIS, kami sememangnya tidak melakukan apa-apa tindakan sumbang yang menimbulkan syak wasangka,” katanya.
Terdahulu, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, mengesahkan dua individu ditahan kira-kira jam 6 petang bagi membantu siasatan kes khalwat membabitkan seorang tokoh awam di daerah Petaling.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya sekiranya perkara itu dibawa ke peringkat perundangan dan tidak berhasrat memanjangkan isu berkenaan.
“Saya ingin memohon maaf kepada isteri keluarga dan keluarga kami dan semua yang terkesan di atas kesilapan pertimbangan pada waktu kejadian yang tidak sewajarnya berlaku.
“Saya akan memberikan kerjasama untuk sebarang proses perundangan,” katanya.
Permohonan maaf tersebut turut ditujukan kepada anggota dan penyokong partinya kerana isu berkenaan disifatkan telah menjejaskan imej Bersama.
“Saya menerima apa jua keputusan yang bakal dibuat oleh parti berhubung perkara ini,” katanya.
Beliau turut menggesa semua pihak supaya menghormati proses undang-undang dan tidak terus memperbesarkan isu berkenaan menerusi media. - Getaran, 17 Oktober 2026





