Jajaran ECRL di Kuala Selangor perkukuh jaringan pengangkutan, pertumbuhan ekonomi

LocalBusiness & Finance
2 Sep 2026 • 2:23 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Jajaran ECRL di Kuala Selangor perkukuh jaringan pengangkutan, pertumbuhan ekonomi

SHAH ALAM, 2 SEP: Jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 15.45 kilometer di Kuala Selangor yang kini mencapai kemajuan 83 peratus dijangka mengukuhkan jaringan pengangkutan dan pertumbuhan ekonomi sekitar daerah itu.

Menurut Majlis Perbandaran Kuala Selangor, jajaran Seksyen 9 ECRL itu melibatkan komponen infrastruktur merangkumi jambatan, jejambat, terowong dan stesen.

“Pelaksanaan ECRL khususnya di Kuala Selangor dilihat berpotensi memperkukuh hubungan logistik dan akses pengangkutan, selain merangsang aktiviti ekonomi serta membuka peluang pembangunan baharu di kawasan sekitar.

“Dengan jaringan rel yang lebih baik, projek berkenaan dijangka memberi nilai tambah kepada Kuala Selangor dari aspek mobiliti, logistik dan ekonomi, sekali gus menyokong potensi pertumbuhan daerah itu pada masa hadapan,” katanya di Facebook.

Menurutnya, perkembangan projek berkenaan ditinjau menerusi lawatan tapak bersama Yang Dipertua MPKS Mohamad Hanafe Basri pada 28 Ogos lalu.

MPKS memaklumkan, lawatan itu menjadi platform MPKS mendapatkan gambaran lebih dekat perkembangan projek serta memperkukuh penyelarasan dengan pihak berkaitan bagi memastikan pembangunan infrastruktur berskala besar itu dilaksana secara terancang.

“Jaringan rel yang lebih baik berpotensi membuka lebih banyak peluang pembangunan kawasan sekitar serta merangsang pertumbuhan ekonomi dan aktiviti logistik di Kuala Selangor.

“Secara keseluruhan jajaran ECRL di Selangor adalah sepanjang 90.72 kilometer dan turut merangkumi hubungan strategik ke kawasan pelabuhan seperti Northport dan Westports,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Mobiliti Ng Sze Han berkata lebih 40 syarikat kontraktor berdaftar di Selangor berjaya memperoleh tender bagi projek ECRL di empat negeri mencecah RM3.58 bilion.

Daripada jumlah itu, kira-kira RM1.18 bilion adalah pelaksanaan ECRL di Selangor yang membuktikan pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar seperti ECRL turut memberi limpahan ekonomi kepada industri dan syarikat tempatan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved