Jakel muncul pemegang saham kedua terbesar Pharmaniaga dengan 10% pegangan

01/08/2025 - 10:19
KUALA LUMPUR 1 Ogos - Jakel Medical Sdn Bhd, anak syarikat kepada Jakel Capital Sdn Bhd muncul sebagai pemegang saham kedua terbesar dalam Pharmaniaga Bhd selepas memperoleh pegangan sebanyak 10% dalam syarikat konsesi penjagaan kesihatan tersebut.
Pegangan tersebut, iaitu sebanyak 655.75 juta saham, diperoleh melalui penempatan persendirian pada hari Selasa menurut makluman Pharmaniaga kepada Bursa Malaysia.
Ia mengesahkan laporan terdahulu yang menyatakan, saham tersebut ditetapkan pada harga 13.5 sen sesaham.
Penempatan persendirian itu telah berjaya mengumpul RM223.7 juta melalui penerbitan 1.66 bilion saham, menarik penyertaan daripada 19 pelabur baharu.
Menurut sumber, antara pelabur tersebut termasuk Great Eastern, Maybank Asset Management, Pheim Asset Management dan tokoh perkapalan Tan Sri Halim Mohammad, lapor The Edge.
Dalam satu kenyataan berasingan, Pharmaniaga mengumumkan penyempurnaan dua komponen utama dalam pelan penyusunan semulanya — terbitan hak dan penempatan persendirian — yang membuka jalan untuk kumpulan tersebut keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) menjelang suku pertama 2026.
Kumpulan berkata, terbitan hak melibatkan 3.46 bilion saham telah dilanggan sepenuhnya, dengan kadar lebihan langganan sebanyak 26.14% oleh pemegang saham sedia ada.
Dengan usaha pengumpulan dana kini selesai, Pharmaniaga akan meneruskan ke fasa terakhir pelan penyusunan semulanya yang melibatkan pengurangan modal, yang dijangka siap menjelang pertengahan Ogos.
Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Bhd kekal sebagai pemegang saham utama kumpulan, dengan pegangan masing-masing sebanyak 8.7% dan 35.2%, atau gabungan sebanyak 43.9%.
Jakel Capital sebelum ini telah menjadi pemegang saham tunggal terbesar dalam Cypark Resources Bhd pada Januari 2023, selepas memperoleh pegangan sebanyak 27.33%, juga melalui penempatan persendirian.
Jakel Capital merupakan cabang pelaburan kepada Jakel Group, yang teras perniagaannya merangkumi pembangunan hartanah.
Harga saham Pharmaniaga melonjak sebanyak 41.9% dalam satu hari pada 21 Julai kepada 22 sen susulan spekulasi bahawa Jakel akan muncul sebagai pemegang saham besar. Saham tersebut kemudiannya menyusut kepada 16 sen berikutan pelaksanaan terbitan hak. - DagangNews.com
standard


