DRB-Hicom kuasai Scott & English (Malaysia) selepas beli baki saham RM20 juta

LocalBusiness & Finance
1 Aug 2025 • 2:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

DRB-Hicom kuasai Scott & English (Malaysia) selepas beli baki saham RM20 juta

image is not available

01/08/2025 - 14:56

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Ogos – DRB-Hicom Bhd mengukuhkan pegangan dalam sektor hartanah apabila memperoleh baki 30% kepentingan ekuiti dalam Scott & English (Malaysia) Sdn Bhd (SEMSB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Hicom Holdings Bhd dengan nilai RM20 juta.

Pengambilalihan tersebut membolehkan DRB-Hicom memiliki sepenuhnya SEMSB, sekali gus membuka ruang kepada kumpulan untuk mengoptimumkan nilai dan potensi pembangunan semula aset-aset strategik milik syarikat berkenaan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, DRB-Hicom berkata, saham tersebut dibeli daripada Arah Kiara Sdn Bhd (AKSB) yang dimiliki oleh pemegang saham utama iaitu Tang Hon Shan (40.1%) dan Ng Kong Chin (35.9%).

"SEMSB kini terlibat dalam penyewaan hartanah di lokasi utama seperti Glenmarie, Shah Alam dan Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur yang menjana pendapatan sewaan stabil kepada kumpulan.

"Pengambilalihan ini selari dengan strategi kumpulan untuk meningkatkan nilai pemilikan hartanah dan menilai potensi pembangunan jangka panjang yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan masa depan," katanya. - DagangNews.com

standard