Jakim diarah bertemu GISB, dapatkan penjelasan dakwaan terlibat ajaran sesat

7 Sep 2024 • 7:37 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

PUTRAJAYA, 7 SEPT: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah diarahkan untuk mengadakan pertemuan dengan pihak GISB Holdings Sdn Bhd bagi mendapatkan maklum balas serta penjelasan berhubung dakwaan penglibatan syarikat itu dengan ajaran sesat al-Arqam dan Rufaqa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan akidah umat Islam kerana ia adalah perkara asas dalam Islam yang mesti dipelihara setiap masa.

Beliau berkata masyarakat perlu membuat laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan jabatan agama Islam negeri sekiranya mendapati terdapat sebarang kegiatan yang diragui serta boleh memesongkan akidah.

“Ini penting sebagai asas dan maklumat sokongan kepada pihak berkuasa termasuk pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri membuat siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya hari ini.

Mohd Na’im berkata pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada PDRM dan pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri dalam melakukan siasatan terhadap isu berkenaan.

Media baru-baru ini melaporkan Mohd Na’im mengesahkan mengenai sesi libat urus dengan wakil syarikat GISB ekoran pelbagai dakwaan terpalit dengan syarikat yang didakwa ada kaitan dengan ajaran sesat serta mengeksploitasi agama dan kanak-kanak untuk meminta derma serta menjalankan perniagaan.

– BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved