JAKIM Lapor MCMC, Pengguna Facebook Buat Komen Jelik Ketika Istiadat Pengebumian Tun Abdullah

Entertainment
17 Apr 2025 • 10:42 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertindak tegas dengan membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung satu komen jelik di akaun Facebook sebuah portal berita ketika istiadat pengebumian negara Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Selasa lalu.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dalam satu kenyataan berkata, komen itu disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan amat tidak wajar ketika negara sedang berkabung atas pemergian seorang tokoh besar.

“Komen itu jelas memperlekehkan serta mempermainkan ajaran Islam, khususnya pada saat penuh hiba dan penghormatan terhadap pemergian seorang tokoh negarawan yang banyak berjasa kepada negara,” katanya.

image is not available

Jelasnya, komen berunsur penghinaan seperti itu bukan sahaja menyakitkan hati umat Islam, malah boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama.

“Sikap sebegini amat tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati perasaan masyarakat Islam khususnya pihak keluarga Allahyarham.” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak untuk menghentikan sebarang bentuk hantaran atau komen yang boleh mencetuskan provokasi, kemarahan dan menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Terdahulu, Tun Abdullah, 85, telah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada malam Isnin lalu dan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara.

Istiadat tersebut disaksikan pemimpin tertinggi negara serta rakyat pelbagai kaum yang hadir memberikan penghormatan terakhir.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.