
JAKIM sedia bantu pembangunan Pusat Islam Bandar Mandaluyong di Filipina, projek RM6 juta yang bakal memperkasa dakwah dan komuniti Muslim.
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedia membantu dari aspek kepakaran berkaitan institusi Islam, latihan, dakwah dan pembangunan komuniti dalam projek pembinaan Pusat Islam Bandar Mandaluyong di Manila, Filipina.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM Datuk Mohd Ajib Ismail berkata pihaknya menyokong usaha Muslim Care Malaysia Society (MCM) membangunkan pusat Islam berkenaan bagi memperkasakan pembangunan umat Islam di luar negara.
“JAKIM bersedia menjadi rakan strategik bagi menawarkan pandangan, pengalaman dan kepakaran serta pembangunan institusi pendidikan Islam dan latihan dakwah,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran pembinaan Pusat Islam Bandar Mandaluyong di sini hari ini.
Beliau berkata JAKIM percaya pusat Islam berkenaan berpotensi menjadi model pembangunan komuniti Islam yang bukan sahaja memenuhi keperluan masyarakat setempat, malah mengukuhkan hubungan persaudaraan antara Malaysia dan Filipina.
Pada sidang media, Presiden MCM Zulkifli Wahijan berkata cadangan pembinaan Pusat Islam Bandar Mandaluyong tercetus selepas pihaknya dimaklumkan mengenai kekangan kemudahan ibadah yang dihadapi komuniti Islam di kawasan berkenaan.
“Ada satu ruang untuk mereka solat yang hanya ruangnya 10 x 10 kaki… boleh muat 25 orang, apabila mereka Solat Jumaat, mereka terpaksa solat di luar,” katanya.
Zulkifli berkata pusat Islam yang dianggarkan menelan kos kira-kira RM6 juta itu akan dibangunkan sebagai pusat ibadah, ilmu, dakwah, kebajikan dan pembangunan komuniti Islam di Filipina.
Beliau berkata MCM mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk sektor korporat, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu bagi menjayakan projek berkenaan.
Zulkifli berkata komuniti Islam di Mandaluyong berjumlah 1,854 orang berdasarkan bancian pada 2020, namun pusat itu dijangka memberi manfaat kepada lebih ramai komuniti Muslim termasuk pekerja dan pelajar di sekitar Metro Manila.






