
Kuala Lumpur: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) terus memperkukuh jaringan strategik bersama tokoh dan institusi Islam di peringkat nasional sebagai usaha memperkasakan agenda dakwah, pembangunan ummah serta pengurusan wakaf yang lebih berkesan dan mampan.
Yang Dipertuanya Datuk Sapawi Ahmad berkata komitmen itu diteruskan menerusi pertemuan dengan Pengerusi Majlis Hukama Muslimin Malaysia, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad, sempena Majlis Malam Mufti Bermuzakarah yang diadakan bersempena Pra-Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026.
Katanya, pertemuan berkenaan menjadi platform penting bagi bertukar pandangan mengenai pelbagai cabaran semasa yang dihadapi umat Islam, selain membincangkan pendekatan lebih berkesan dalam memperkukuh pelaksanaan dakwah, memperkasa institusi wakaf dan memperluaskan kerjasama antara organisasi Islam.
“Usia sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai institusi, pertubuhan dan tokoh ilmuwan bagi memastikan agenda dakwah terus diperkasakan selaras dengan keperluan masyarakat semasa.
“Pada masa sama, jaringan seumpama ini penting bagi memperkukuhkan syiar Islam serta meningkatkan keberkesanan program pembangunan ummah di Sabah dan negara secara keseluruhannya,” katanya pada Pra-Konvensyen Wakaf Dakwah 2026, di sini, Isnin.
Sapawi berkata landskap masyarakat yang semakin dinamik memerlukan pendekatan dakwah yang lebih inklusif, progresif dan berteraskan ilmu supaya dapat memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat, khususnya generasi muda.
Sehubungan itu katanya, kerjasama dengan tokoh ilmuwan dan institusi Islam di peringkat nasional mampu membuka ruang perkongsian kepakaran, pengalaman serta amalan terbaik yang boleh dimanfaatkan dalam pelaksanaan program dakwah di Sabah.
Beliau turut menegaskan bahawa institusi wakaf perlu terus diperkasakan sebagai instrumen penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial umat Islam melalui pengurusan yang cekap, telus dan berimpak tinggi.
Dalam pada itu, Sapawi merakamkan penghargaan terhadap sumbangan Mohd Nakhaie yang disifatkan sebagai antara tokoh yang banyak menyumbang kepada perkembangan pemikiran Islam di negara ini.
Menurutnya, pendekatan sederhana, berwibawa dan relevan yang dibawa Mohd Nakhaie menjadi contoh dalam usaha memperkukuhkan kefahaman Islam, memupuk perpaduan serta memperkasa peranan institusi Islam dalam menghadapi cabaran semasa.
“Justeru, Usia akan terus memainkan peranan sebagai rakan strategik kepada pelbagai pihak dalam memperkasa syiar Islam menerusi kerjasama yang memberi manfaat kepada umat, khususnya di Sabah sekaligus menyokong usaha membina masyarakat Islam yang berilmu, bersatu dan berdaya tahan.






