JAKIM Teliti Dakwaan Kaitan Timbalan Menteri Dengan ‘New Age Movement’

LocalPolitics
27 Sep 2026 • 6:05 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

JAKIM Teliti Dakwaan Kaitan Timbalan Menteri Dengan ‘New Age Movement’

KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil serius kebimbangan yang dibangkitkan berhubung dakwaan mengaitkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan New Age Movement (NAM).

JAKIM dalam satu kenyataan berkata, perkara itu telah diteliti secara terperinci dengan melibatkan pihak berkuasa agama serta pakar berkaitan.

Menurut jabatan itu, satu pertemuan turut diadakan bersama Timbalan Menteri berkenaan bagi mendapatkan penjelasan secara langsung berhubung isu  dibangkitkan.

Pertemuan itu turut melibatkan Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah JAKIM serta pihak berkaitan.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, perkara berkenaan diteliti daripada aspek akidah Islam, autoriti agama serta latar belakang NAM.

“Susulan pertemuan itu, beberapa peringatan, nasihat dan panduan telah diberikan termasuk berkaitan kandungan program yang pernah dilaksanakan, pendekatan digunakan serta implikasinya terhadap agama dan akidah,” katanya.

Beliau berkata, penekanan turut diberikan terhadap keperluan memperbetul dan memperkemas sebarang kandungan atau pendekatan yang berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam perkara berkaitan akidah Islam.

Sirajuddin berkata, kandungan berkaitan agama hendaklah berlandaskan ilmu dan disiplin pengajian Islam serta pandangan pihak berautoriti dalam hal ehwal agama.

Dalam pada itu, JAKIM berkata pihaknya mengambil maklum persoalan yang dibangkitkan orang ramai, termasuk menerusi akaun Facebook milik Masyitah Ashari, berhubung isu NAM dan Timbalan Menteri berkenaan.

JAKIM menegaskan pendiriannya untuk menolak sebarang ajaran, kepercayaan, amalan atau pendekatan yang bercanggah dengan syarak dan prinsip akidah Islam.

Jabatan itu pada masa sama mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan berdasarkan bahan yang tersebar tanpa pengesahan atau yang dikemukakan di luar konteks.

“JAKIM akan terus melaksanakan tanggungjawab dalam memelihara kesucian akidah umat Islam dengan tegas, bertanggungjawab serta berlandaskan ilmu dan autoriti agama,” katanya. - Getaran, 27 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved