JAKIM siasat dakwaan unsur New Age Movement dalam program agama

LocalPolitics
27 Sep 2026 • 5:08 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

JAKIM siasat dakwaan unsur New Age Movement dalam program agama

SHAH ALAM, 27 SEPT: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan penyebaran unsur New Age Movement (NAM) yang dikaitkan dengan kandungan dan pendekatan program melibatkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Ketua Pengarah JAKIM Dato’ Dr Sirajuddin Suhaimee berkata pihaknya memandang serius isu itu susulan persoalan masyarakat mengenai kandungan yang dikaitkan dengan fahaman NAM serta kesannya terhadap akidah Islam.

“Perkara tersebut telah diberi perhatian serius dan melalui proses siasatan menyeluruh bagi mendapatkan pandangan serta penelitian berdasarkan disiplin ilmu dengan penglibatan autoriti berkaitan.

“Sesi pertemuan dan tabayyun juga telah diadakan bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi mendapatkan penjelasan secara langsung berhubung perkara yang dibangkitkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sirajuddin berkata sesi itu turut melibatkan Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah (PPA) JAKIM dan pihak berkaitan bagi meneliti isu berkenaan dari sudut akidah, autoriti agama serta latar pemikiran NAM.

Menurutnya, beberapa teguran, nasihat dan panduan diberikan berkaitan kandungan, pengisian program serta pendekatan yang mempunyai implikasi terhadap agama dan akidah.

“Penekanan turut diberikan agar sebarang kandungan atau pendekatan yang boleh menimbulkan kekeliruan terhadap akidah diperbetulkan dan dimurnikan.

“Pengisian berkaitan agama juga perlu sentiasa berasaskan disiplin ilmu Islam dan pandangan pihak berautoriti,” katanya.

Beliau berkata JAKIM turut mengambil perhatian terhadap persoalan masyarakat, termasuk yang dibangkitkan menerusi Facebook atas nama Masyitah Ashari.

Pada masa sama, masyarakat diseru supaya tidak membuat kesimpulan berdasarkan bahan yang beredar tanpa pengesahan atau di luar konteks.

JAKIM menegaskan akan terus melaksanakan tanggungjawab memelihara kesucian akidah umat Islam secara tegas, berhemah dan berasaskan ilmu serta autoriti agama.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved