Jalaluddin Hassan turun bantu kempen calon BN 

LocalPolitics
6 Nov 2026 • 3:10 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jalaluddin Hassan turun bantu kempen calon BN 

MELAKA: Kesibukan memenuhi jadual penggambaran tidak menghalang seniman veteran, Datuk Jalaluddin Hassan meluangkan masa turun padang bagi memberikan sokongan moral kepada calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Biarpun perlu berulang-alik bagi memenuhi komitmen kerjaya seninya, pelakon berpengalaman itu tetap mengambil kesempatan berada di Melaka untuk menyatakan sokongan terhadap usaha BN dan Perikatan Nasional (PN) yang bergabung menghadapi PRN kali ini.

Jalaluddin berkata, beliau melihat penyatuan BN-PN sebagai perkembangan positif yang mampu memperkukuh kekuatan jentera parti dalam usaha memastikan gabungan itu memperoleh kemenangan pada 14 November ini.

Katanya, kerjasama yang terjalin selepas sekian lama itu memberikan keyakinan bahawa kesepakatan politik berkenaan mampu membawa kesan baik kepada landskap politik negeri.

“Saya rasa senang kerana kita kembali bersama selepas bertahun-tahun membawa satu kesepakatan untuk BN dan PN bagi memastikan kuasa di Melaka kekal di bawah BN.

“Apabila BN dan PN bersatu, memang satu petanda yang sangat baik. Insya-Allah, seluruh warga Melaka akan menguatkan lagi jentera parti untuk meraih kemenangan pada 14 November nanti.

“Itu sahaja harapan saya. Apabila kita bersatu, segala yang mustahil boleh menjadi kenyataan,” katanya ditemui pemberita di Bilik Gerakan DUN Bukit Katil di Jalan Demang Husin, di sini hari ini.

Mengulas kesediaannya membantu calon BN, Jalaluddin berkata, beliau akan melihat ruang dan kesempatan yang ada untuk turun memberikan sokongan, termasuk di kawasan yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya.

Katanya, setakat ini beliau telah berjumpa dengan calon BN DUN Serkam, Datuk Azman Abdullah dan membantu dengan menyantuni penduduk di sana semalam.

“Nanti saya akan turun semula ke Melaka dan membantu beberapa lagi calon BN sebelum rakyat negeri ini keluar mengundi pada 14 November nanti,” ujarnya.

Katanya, beliau juga perlu kembali memenuhi komitmen penggambaran sebelum datang semula ke Melaka bagi meneruskan sokongan terhadap kempen pilihan raya.

Dalam pada itu, Jalaluddin turut berkongsi bahawa isterinya masih mengundi di kawasan Serkam Pantai dan beliau pula belum membuat pertukaran tempat mengundi.

Bagaimanapun, beliau berharap sokongan yang diberikan, termasuk kehadiran di lapangan, dapat membantu menyemarakkan semangat calon serta jentera parti yang bertanding. -UTUSAN

The post Jalaluddin Hassan turun bantu kempen calon BN  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved