Ridzuan yakin gelombang biru mampu tawan Bukit Katil

LocalPolitics
6 Nov 2026 • 3:11 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ridzuan yakin gelombang biru mampu tawan Bukit Katil

MELAKA: Penyatuan jentera Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) diyakini mampu mencipta kejutan dengan merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil daripada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.

Calon PN, Muhammad Ridzuan Mohd. Sarif, 42, berkata, perkembangan positif gerak kerja kempen serta sokongan yang diterima ketika turun padang meningkatkan keyakinannya untuk menewaskan penyandang, Adly Zahari.

Beliau berkata, penyatuan ummah yang dibentuk antara PN dan BN bukan sekadar kerjasama di atas kertas, sebaliknya diterjemahkan menerusi penggemblengan tenaga jentera kedua-dua gabungan bagi memastikan kemenangan di kerusi berkenaan.

Katanya, kehadiran Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam perjumpaan bersama jentera dan calon di kawasan itu turut memperlihatkan kesungguhan BN membantu memenangkan calon PN.

“Alhamdulillah, hari ini kita dapat menyaksikan sendiri kekuatan penyatuan ummah yang dibina dalam komuniti ini.

“Saya amat bersyukur dengan kehadiran Pengerusi BN Melaka yang membuktikan gelombang biru ini bukan sahaja melanda DUN Bukit Katil, malah ke seluruh Melaka.

“Melihat kepada sokongan rakyat semasa turun padang, insya-Allah kemenangan di DUN Bukit Katil bakal menjadi kenyataan pada 14 November ini,” katanya ditemui pemberita di Bilik Gerakan DUN Bukit Katil di Jalan Demang Husin, selepas perjumpaan bersama Ab Rauf, di sini hari ini,

Mengulas persaingan menentang Adly yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, Ridzuan berkata, pihaknya tidak memandang mudah kekuatan lawan, namun yakin jentera yang digerakkan mampu memberikan saingan sengit.

Katanya, jentera PN dan BN bekerja dari pagi hingga larut malam bagi mendekati pengundi serta memastikan mesej kerjasama kedua-dua gabungan sampai kepada seluruh lapisan masyarakat.

“Jentera turun padang dari pagi hingga larut malam dan ini membakar semangat saya untuk terus bekerja keras sehingga saat pusat mengundi ditutup pada 14 November nanti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, antara cabaran yang diberi perhatian ialah memastikan pengundi tradisi BN memahami perubahan simbol yang perlu dipilih pada pilihan raya kali ini berikutan calon gabungan itu bertanding menggunakan logo PN di Bukit Katil.

Katanya, pendekatan secara bersemuka dilaksanakan bagi menjelaskan kepada pengundi bahawa mereka perlu memberikan undi kepada logo PN sebagai sebahagian daripada kesepakatan politik kedua-dua gabungan.

“Ini perkara penting yang kami beri perhatian. Mengambil kira kebiasaan pengundi lama yang biasa melihat simbol dacing, kami mendekati mereka secara bersemuka untuk memberi penjelasan bahawa pada kali ini wujud kesepakatan gabungan dan mereka perlu mengundi logo PN pada kertas undi,” katanya.

Menyentuh isu setempat, Ridzuan berkata, masalah banjir kilat dan penyelenggaraan longkang menjadi antara aduan utama penduduk yang diterima sepanjang sesi ziarah dan pertemuan dengan masyarakat.

Beliau berkata, sekiranya diberikan mandat, usaha menyelesaikan masalah berkenaan akan menjadi antara keutamaan dengan kerjasama agensi kerajaan berkaitan. -UTUSAN

 

The post Ridzuan yakin gelombang biru mampu tawan Bukit Katil appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved