
KUNAK: Selepas kira-kira tujuh tahun hanya ditampal menggunakan batu kerikil dan mengalami kerosakan berulang, Jalan Jaya Baru yang menghubungkan Kampung Jaya Baru dengan Pasar Tamu Mingguan kini akhirnya diturap semula bagi memberi keselesaan dan meningkatkan keselamatan pengguna jalanraya.
Kerja penurapan semula membabitkan laluan utama sepanjang 300 meter itu dilaksanakan menerusi peruntukan Kementerian Kewangan Persekutuan (MOF).
Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, merangkap Adun Kunak, Dato’ Sri Anil Sandhu berkata penurapan semula jalan raya luar bandar berkenaan memberi kelegaan kepada penduduk yang menggunakan laluan itu sebagai akses utama untuk ke kampung serta pekan sekitarnya.
Menurutnya, keadaan struktur jalan yang sebelum ini berlopak dan tidak rata bukan sahaja menjejaskan keselesaan pengguna, malah menyukarkan pergerakan kenderaan khususnya ketika musim hujan.
“Dengan siapnya penurapan semula ini, penduduk kini dapat menggunakan laluan berkenaan dengan lebih selesa dan selamat, terutama mereka yang berulang-alik antara Kampung Jaya Baru, Pasar Tamu Mingguan dan kawasan sekitar,” katanya kepada media selepas meninjau Jln Jaya Baru bersama kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), pada Ahad.
Anil berkata, laluan berkenaan turut dilengkapi beberapa lampu solar sekaligus meningkatkan aspek keselamatan serta memberi keselesaan kepada penduduk yang menggunakan jalan tersebut, khususnya semasa waktu malam.
Sebelum ini, keadaan jalan tersebut dilaporkan mempunyai banyak lubang dan hanya ditampal menggunakan batu kerikil oleh pihak konsesi penyelenggaraan sebagai langkah sementara.
Beberapa bulan lalu, Adun Kunak turun ke lokasi meninjau sendiri keadaan jalan berkenaan dan mendengar aduan serta keperluan penduduk setempat.
“Penurapan semula itu diharap dapat memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk selain memastikan akses jalanraya luar bandar terus berada dalam keadaan baik, sekaligus menyokong aktiviti harian dan ekonomi masyarakat setempat”, katanya.
Keperluan untuk menurap semula laluan berkenaan sebelum ini turut dilaporkan, susulan keadaan jalan yang semakin teruk dan memerlukan penyelesaian lebih menyeluruh.





