
Tinggi Seakan Bangunan 45 Tingkat, Hubungkan Sri Aman Dan Betong Dalam 30 Minit Sahaja
Jambatan Batang Lupar Dua Bakal Jadi Jambatan Kabel Tertinggi Di Malaysia Menjelang 2026. Projek infrastruktur mega yang sedang giat dibina di Sarawak bakal mencipta sejarah baharu apabila Jambatan Batang Lupar Dua siap kelak — bukan sahaja akan memudahkan pergerakan rakyat, malah bakal menjadi jambatan kabel (cable-stayed bridge) tertinggi di Malaysia.
Menurut Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Dr Ir. Cassidy Morris, jambatan yang merentasi Sungai Batang Lupar ini akan mempunyai ketinggian mencecah 145.5 meter — bersamaan sebuah bangunan setinggi 45 tingkat — dan panjang 870 meter. Angka ini menjadikan ia rekod baharu dalam landskap kejuruteraan negara apabila siap nanti.

Lebih menarik, jambatan ini turut akan menjadi simbol kebanggaan dan mercu tanda baharu bagi negeri Sarawak.
Hubungan Strategik Antara Jalan Pesisir & Pan Borneo
Selain mencatat sejarah dari segi struktur, projek ini turut berperanan penting dalam meningkatkan jaringan pengangkutan negeri, terutamanya di zon tengah Sarawak, menurut laporan media tempatan.
Jambatan Batang Lupar Dua akan menjadi penghubung utama antara Jalan Pesisir dan Lebuhraya Pan Borneo, sekaligus mempercepat hubungan antara bandar Sri Aman dan pekan Betong.
Perjalanan Dipendekkan Daripada 1 Jam Ke 30 Minit
Apabila siap kelak (disasarkan pada suku pertama tahun 2026), projek ini bakal mengurangkan jarak perjalanan antara Sri Aman dan Betong daripada 71 kilometer kepada hanya 28 kilometer.
Ini juga bermaksud masa perjalanan yang sebelum ini mengambil kira-kira satu jam, akan dapat dipendekkan kepada hanya 30 minit sahaja — satu perubahan besar yang memberi impak terus kepada kesejahteraan penduduk serta kelancaran logistik dan ekonomi.
Projek Jalan Raya Sepanjang 21 Kilometer Turut Dibina
Sebagai sebahagian daripada pembangunan bersepadu, projek ini juga melibatkan pembinaan jajaran jalan raya baharu sepanjang 21 kilometer, termasuk:
- 3.2 kilometer jalan ke bandar Sri Aman
- 3.8 kilometer jalan ke pekan Betong
Kesemua ini akan menjadi sebahagian daripada laluan strategik di bawah Jalan Utama Kedua, sekali gus menjadikan rangkaian pengangkutan lebih efisien dan menyeluruh.
Fokus Utama: Siap Mengikut Jadual, Selamat & Berkualiti
Dr Cassidy turut menegaskan komitmen JKR Sarawak untuk memastikan projek ini siap mengikut jadual, dengan memberi penekanan terhadap aspek keselamatan dan kualiti.
Projek ini bukan sahaja bertujuan menyediakan infrastruktur moden, tetapi juga memastikan ia dapat memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan pembangunan negeri Sarawak.
Sarawak Ke Arah Kemajuan Masa Hadapan
Jambatan Batang Lupar Dua bukan sekadar struktur konkrit dan kabel — ia adalah lambang kemajuan, penyambung komuniti, dan penggerak ekonomi wilayah tengah Sarawak.
Dengan gabungan kejuruteraan moden dan visi masa depan yang jelas, Sarawak sekali lagi membuktikan bahawa ia berada di landasan yang tepat untuk terus berkembang sebagai sebuah negeri maju dan mampan.
Baca juga artikel yang berkaitan:



