Dua rakan lemas di Lubuk Tupai

21 Oct 2026 • 5:55 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Dua rakan lemas di Lubuk Tupai

HULU SELANGOR – Aktiviti mendaki enam rakan bertukar tragedi apabila dua daripada mereka ditemukan lemas di dasar air terjun Lubuk Tupai, Kampung Hulu Rening, Batang Kali, di sini, hari ini.

Jasad Muhamad Aidil Aiman Muhammed Bajuri, 23, dan Muhammad Aidil Imran Mohd. Nor Aziz, 21, dijumpai pada kedalaman kira-kira lima meter dari permukaan air.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12.13 tengah hari.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu bersama Pasukan Bomba Sukarela Batang Kali tiba di Lubuk Tupai pada pukul 1.05 tengah hari bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, anggota bomba terpaksa berjalan kaki sejauh empat hingga lima kilometer melalui laluan berbukit untuk sampai ke lokasi kedua-dua remaja tersebut ditemukan.

“Seramai enam individu melakukan aktiviti mendaki sebelum dua daripada mereka mandi di sungai dan dipercayai tenggelam.

“Kedua-dua mangsa ditemukan pada pukul 2.15 dan 2.25 petang sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat dua remaja itu dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu di sini dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

The post Dua rakan lemas di Lubuk Tupai appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved