Jambatan roboh, penduduk nak beraya jatuh laut

LocalPolitics
22 Mar 2026 • 1:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Penduduk jatuh laut selepas jambatan yang dilalui roboh di Kampung Selamat Lok Urai, Pulau Gaya, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Suasana Hari Raya Aidilfitri di sebuah perkampungan atas air bertukar cemas apabila sebuah jambatan roboh dan menyebabkan beberapa penduduk yang berpakaian baharu terjatuh ke laut dalam kejadian di Kampung Selamat, Lok Urai, Pulau Gaya, pada Sabtu.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian yang berlaku ketika umat Islam sedang meraikan 1 Syawal itu.

Menurut kenyataan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, pihaknya menerima perkhabaran mengenai kejadian tersebut ketika orang ramai sedang menyambut Aidilfitri.

"Ketika rakan-rakan kita sedang bergembira meraikan Aidilfitri selepas sebulan berpuasa, sebuah jambatan di Kampung Selamat, Lok Urai, Pulau Gaya dilaporkan roboh sehingga mengakibatkan beberapa penduduk terjatuh ke dalam laut.

"Amat memilukan apabila kejadian ini menimpa mereka yang sedang berbaju baharu dan bersiap menyambut hari kemenangan, namun terpaksa berdepan dengan dugaan yang tidak dijangka," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, pihaknya memohon agar kerajaan memberi perhatian serius terhadap isu berkenaan, khususnya dalam memastikan penyelenggaraan serta pemantauan berkala ke atas fasiliti awam seperti jambatan, terutama yang telah usang dan berisiko.

"Keadaan ini bukan sahaja mengancam keselamatan, malah boleh mengakibatkan kecederaan kepada orang ramai.

"Kami berharap tindakan segera dapat diambil bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang pada masa hadapan," katanya.