Lelaki maut motosikal terlibat nahas

12 Mar 2026 • 12:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah kenderaan lain lalu terbabas di jambatan Jalan Tun Fuad Stephan. Foto hiasan

KOTA KINABALU - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah kenderaan lain lalu terbabas dan tercampak di atas jalan raya dalam kejadian di jambatan Jalan Tun Fuad Stephan, di sini, pada awal pagi Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa warga tempatan berusia 21 tahun dilaporkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah dialaminya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu seorang wanita tempatan berusia 20 tahun manakala motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggang mangsa.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa kereta tersebut bergerak dari arah pusat bandar menuju ke arah Telipok dan sebaik tiba di lokasi, motosikal yang berada di belakang dipercayai telah hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang kanan kenderaan tersebut sebelum terbabas ke atas jalan raya.

"Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Queen Elizabeth II (HQEII)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya lagi, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik HQEII untuk tujuan bedah siasat.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, termasuk mengambil rakaman percakapan saksi dan waris bagi membantu siasatan.

"Kedua-dua kenderaan yang terlibat ditahan untuk tujuan pemeriksaan lanjut di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

"Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Inspektor See Hong Ling, 6018-909 1014," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan memandu dengan lebih berhati-hati terutamanya pada waktu malam bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.