
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan didakwa esok di Mahkamah Sesyen di sini.
Berdasarkan sistem mahkamah, prosiding pendakwaan terhadap Jamil Khir, 65, akan dibuat di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Sebelum ini media melaporkan sorang bekas menteri dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat ‘lampu hijau’ daripada Jabatan Peguam Negara untuk menuduh tokoh politik tersebut.
Ketua Pesuruhjayanya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, bekas menteri itu bakal berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan melibatkan siasatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).
“Pihak kami mendapat izin bagi mengemukakan pertuduhan terhadap bekas menteri berkenaan. SPRM mengesyorkan sebanyak tiga pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita selepas sesi wawancara di Ibu Pejabat SPRM.
Terdahulu SPRM melepaskan bekas menteri yang sebelum ini direman tujuh hari bagi membantu siasatan RCI TH yang mana SPRM telah menahan reman bekas menteri iu selepas beliau hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Dalam laporan RCI yang didedahkan pada 29 Julai lalu, sebanyak 25 syor utama dikemukakan bagi meningkatkan ketelusan, profesionalisme, dan tadbir urus institusi berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Jamil Khir didakwa esok appeared first on Kosmo Online.






