Jangan ada dua darjat dalam pengampunan - Nurul Syazwani

LocalPolitics
11 Sep 2026 • 10:41 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jangan ada dua darjat dalam pengampunan - Nurul Syazwani
Pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak sepatutnya menjadi isu apabila Perlembagaan Persekutuan sendiri memperuntukkan kuasa berkenaan. - Gambar kecil (Nurul Syazwani)

SHAH ALAM - Pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak sepatutnya menjadi isu apabila Perlembagaan Persekutuan sendiri memperuntukkan kuasa berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, tidak wajar wujud dua darjat dalam soal pengampunan dengan piawaian sama perlu digunakan kepada semua pihak tanpa mengira nama atau latar belakang politik.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan kuasa pengampunan dan hak itu tidak seharusnya dinafikan atas alasan prinsip kedaulatan undang-undang.

"Jangan berselindung di sebalik slogan 'rule of law' untuk menafikan sesuatu yang Perlembagaan sendiri benarkan.

"Kalau semua pesalah wajib menghabiskan hukuman tanpa ruang pengampunan, untuk apa Perkara 42 diwujudkan?" katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Nurul Syazwani berkata, pada 2018, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini Perdana Menteri menerima pengampunan penuh ketika masih menjalani hukuman sebelum dibebaskan dan keputusan itu perlu dihormati.

Bagaimanapun, katanya, perkara sama juga perlu dilihat secara adil apabila Najib memohon pengampunan.

"Kita hormati keputusan itu, tetapi jangan apabila pemimpin sendiri menerima pengampunan, kita panggil keadilan dan ihsan.

"Undang-undang dan Perlembagaan apa yang berubah? Atau hanya nama pemohonnya yang berubah?" soal beliau.

Menurutnya, sokongannya terhadap pengampunan Najib bukan bermaksud beliau mahu bekas Perdana Menteri itu berada di atas undang-undang.

Sebaliknya, beliau menuntut supaya piawaian sama digunakan kepada Najib seperti yang pernah diterima pihak lain.

"Saya menuntut ukuran yang sama digunakan kepada Najib sebagaimana kita pernah menerimanya untuk orang lain.

"Jangan politikkan hak yang diberikan oleh Perlembagaan," katanya.

Nurul Syazwani menegaskan, keadilan, Perlembagaan dan ihsan tidak sepatutnya berubah mengikut nama individu atau parti politik.

"Perlembagaan tidak boleh memilih parti dan ihsan tidak sepatutnya memilih kawan atau lawan.

"Kalau dahulu boleh untuk Anwar, jangan hari ini kata salah apabila rakyat mengharapkan ihsan untuk Najib," ujar beliau.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved