Perlekeh kuasa pengampunan bermakna persoal Perlembagaan – Ketua Puteri UMNO

LocalPolitics
10 Sep 2026 • 12:10 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Perlekeh kuasa pengampunan bermakna persoal Perlembagaan – Ketua Puteri UMNO

KUALA LUMPUR: Tindakan memperlekeh atau menafikan kewujudan kuasa pengampunan bermakna mempersoalkan peruntukan yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi berkata, kuasa pengampunan merupakan antara prerogatif yang diperuntukkan oleh Perlembagaan, termasuk kepada Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri mengikut bidang kuasa masing-masing.

“Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri mengikut bidang kuasa masing-masing.

“Kuasa ini adalah antara prerogatif yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. Justeru, memperlekeh atau menafikan kewujudan kuasa tersebut bermakna kita sedang mempersoalkan peruntukan yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan itu sendiri,” katanya dalam Ucapan Dasar Ketua Puteri UMNO pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO, hari ini.

Hadir sama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Alamin.

Nurul Amal berkata, isu berkenaan tidak seharusnya dipermainkan mengikut kepentingan politik semasa kerana ia membabitkan kedudukan Institusi Beraja dan keluhuran Perlembagaan.

Katanya, semua pihak perlu menghormati Institusi Beraja apabila kuasa yang diperuntukkan kepadanya dilaksanakan melalui saluran yang ditetapkan oleh Perlembagaan.

“Ini bukan soal politik kepartian. Ia bukan perkara yang boleh dipermainkan mengikut kepentingan politik semasa.

“Apabila Institusi Beraja melaksanakan kuasanya melalui saluran yang diperuntukkan oleh Perlembagaan, kita hormati institusinya dan kita junjung keluhuran Perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata, Institusi Beraja merupakan antara tonggak penting kedaulatan negara dan kedudukannya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta Perlembagaan negeri-negeri beraja.

“Institusi Beraja adalah antara tonggak penting kedaulatan negara. Ia bukan sekadar simbol. Kedudukannya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri-negeri beraja.

“Inilah sebahagian daripada identiti dan sistem negara yang wajib kita junjung dan hormati,” katanya.

Nurul Amal menegaskan, perubahan politik atau pertukaran kerajaan tidak seharusnya menjadi alasan untuk mana-mana pihak menghakis kewibawaan Institusi Beraja.

“Politik boleh berubah. Kerajaan boleh bertukar. Tetapi Institusi Beraja dan Perlembagaan mesti terus kita pertahankan.

“Perbezaan politik atau kepentingan politik bukan lesen untuk menghakis kewibawaan Institusi Beraja,” katanya. – UTUSAN

The post Perlekeh kuasa pengampunan bermakna persoal Perlembagaan – Ketua Puteri UMNO appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved