Jangan pertikai kuasa pengampunan institusi diraja – Akmal Salleh

LocalPolitics
10 Sep 2026 • 2:31 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jangan pertikai kuasa pengampunan institusi diraja – Akmal Salleh

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengkritik tindakan pihak tertentu yang mahu mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Muhamad Akmal berkata, UMNO tidak pernah mempersoalkan pengampunan penuh yang diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menghormati hak dan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima pengampunan penuh, UMNO langsung tidak mempertikaikan pengampunan yang diberikan kepada beliau.

“Tuanku mahu memberikan pengampunan penuh, itu hak Tuanku dan kuasa Tuanku,” katanya dalam Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, di sini hari ini.

Muhamad Akmal berkata, UMNO juga tidak mengisytiharkan mahkamah sebagai musuh ketika Datuk Seri Najib Razak dijatuhi hukuman, meskipun parti itu berasa sedih dan kecewa dengan keputusan berkenaan.

“Sebaliknya, UMNO terus memperjuangkan perkara berkaitan bekas Perdana Menteri itu menerusi saluran undang-undang kerana menghormati keputusan mahkamah.

“UMNO juga tidak pernah mengadakan perarakan bagi menghalang lalu lintas atau mengarahkan ahlinya turun ke jalanan untuk menuntut pembebasan Najib,” katanya.

Malah tambah beliau, UMNO juga tidak mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong ketika Najib tidak diberikan pengampunan pada peringkat awal.

“Kita memang kecewa, tetapi kita tidak pernah mempertikaikan kuasa yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Apabila kita menghormati kuasa Raja-Raja, maka apa yang diperuntukkan oleh Tuanku perlu kita hormati,” katanya. – UTUSAN

The post Jangan pertikai kuasa pengampunan institusi diraja – Akmal Salleh appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved