Jangan ambil kerja Tuhan tentukan keikhlasan seseorang - Asyraf Wajdi

LocalPolitics
8 Aug 2026 • 2:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jangan ambil kerja Tuhan tentukan keikhlasan seseorang - Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi (tengah) menerima cenderamata yang disampaikan semasa merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu, Empat Peringkat Tahun 2026 di Dewan UMNO Negeri Kelantan di Kota Bharu pada Sabtu.

KOTA BHARU - UMNO menyerahkan kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk menentukan bentuk kerjasama termasuk soal pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, soal sama ada BN ikhlas atau tidak dalam kerjasama berkenaan tidak wajar dipersoalkan sebelum rundingan antara kedua-dua pihak berlangsung.

"Jadi biarkan keikhlasan itu kerja Tuhan. Jangan kita mengambil kerja Tuhan dalam menentukan keikhlasan seseorang," katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.

Sebelum itu beliau hadir merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu, Empat Peringkat Tahun 2026 di Dewan UMNO Negeri Kelantan di sini.

Terdahulu media melaporkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan tiada keikhlasan diperlihatkan oleh BN dalam perundingan pengagihan kerusi bagi menghadapi PRN Melaka apabila sudah mengumumkan mahu mempertahankan kesemua 21 kerusi yang dimenangi sebelum ini.

Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini bahawa BN mahu mempertahankan semua 21 kerusi yang dimenangi pada 2021 tidak menunjukkan kejujuran dalam berpolitik atau anjakan perubahan sikap.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, hasrat awal yang dinyatakan mana-mana pihak mengenai kerusi yang ingin dipertahankan adalah perkara biasa sebelum perbincangan dibuat.

"Tak ada siapa pun manusia yang boleh tahu benda yang berada dalam hati masing-masing.

"Tetapi yang paling penting sekali, siapa pun yang menyatakan hasrat, kalau kita tengok di Negeri Sembilan pun peringkat awal, masing-masing mengeluarkan kenyataan, berhasrat itu dan ini.

"Tetapi akhirnya kepimpinan akan duduk di meja perundingan dan berbincang. Nama pun perbincangan," katanya.

Menurut beliau apabila ada perbincangan nanti kedua-dua parti akan menyatakan hasrat masing-masing dan mencapai kata putus.

Ujarnya, keikhlasan seseorang tidak boleh ditentukan hanya berdasarkan kenyataan yang dibuat pada peringkat awal.

"Takkanlah nak buat sebelum berbincang nak dipersoalkan keikhlasan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved