
KOTA BHARU: UMNO mengingatkan mana-mana pihak yang menjalinkan persefahaman dan permuafakatan dengan parti itu supaya tidak memberi ruang kepada pihak ketiga untuk menggagalkan usaha penyatuan Melayu-Islam di negara ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, berdasarkan pengalaman lampau, usaha ke arah mewujudkan persefahaman dan permuafakatan sering digagalkan pihak ketiga.
“Terserah kepada diri masing-masing untuk mentafsirkan kerana pihak ketiga ini ada macam-macam. Boleh jadi orang dalaman dan boleh jadi orang luaran.
“Yang penting kita berikan kepercayaan kepada kepemimpinan tertinggi parti masing-masing untuk menterjemah hasrat rakyat yang mahu melihat parti mewakili suara orang Melayu terbesar, boleh duduk berbincang,” katanya selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu di sini, hari ini.
Asyraf Wajdi menyeru semua pihak berkaitan supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang melangkaui kepemimpinan tertinggi setiap parti dalam media sosial.
Katanya, tindakan sedemikian hanya menimbulkan persepsi yang tidak menguntungkan dalam konteks perbincangan ke arah persefahaman dan permuafakatan antara parti berkenaan.
“Kadangkala di era dunia tanpa sempadan hari ini, banyak pihak mahu berlagak hero dengan mengeluarkan status dan kenyataan melangkaui kepemimpinan parti dalam media sosial.
“Malah ada kenyataan dikeluarkan sehingga menimbulkan keresahan kepada parti dan orang-orang di bawahnya. Jadi saya kira lebih baik kita tidak menggunakan media umum ini sebelum kita memulakan perundingan atau perbincangan,” ujarnya. – UTUSAN
The post Usah beri ruang pihak ketiga gagalkan permuafakatan parti Melayu-Islam appeared first on Utusan Malaysia.






